PUTRAJAYA - Majikan perlu membayar RM610 sebagai kos pembaharuan permit pekerja domestik asing (PDA) Indonesia seperti ditetapkan oleh Jabatan Imigresen (JIM).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kos tersebut meliputi bayaran levi sebanyak RM410; Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) RM60; pemprosesan (RM125); dan visa (RM15).
Beliau berkata, kos tersebut tidak termasuk kos pemeriksaan kesihatan PDA (Fomema) yang dibuat pada setiap tahun pertama, kedua, ketiga dan setiap dua tahun berikutnya dengan tidak melebihi RM200.
"Pembaharuan pasport yang tamat tempoh juga mempunyai bayarannya yang ditentukan kedutaan negara asal PDA masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, majikan wajib membuat pembaharuan permit kerja PDA yang digajikan setiap tahun dan ia perlu dibuat seawal tiga bulan sebelum tamat tempoh permit. Sivakumar berkata, permohonan pembaharuan permit boleh dibuat oleh majikan atau dengan melantik Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan senarai APS boleh disemak di laman sesawang JTKSM.
Pada masa ini, katanya, pengurusan penggajian PDA bagi warga Indonesia adalah disyaratkan dibuat menerusi APS yang berdaftar dengan JTKSM.
Mana-mana kos tambahan oleh APS adalah tertakluk kepada persetujuan kedua-dua belah pihak manakala proses pembaharuan permit PDA selain daripada PDA warga Indonesia boleh dibuat sendiri oleh majikan secara dalam talian menerusi portal e-PLKS@JIM, katanya. - Bernama