KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Melaka hari ini menambah jumlah hukuman penjara terhadap seorang bekas penolong jurutera di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor daripada 14 tahun kepada 37 tahun atas lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM400,000 melibatkan kerja-kerja di maktab berkenaan.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairudin Ngadiron, 48, dan turut menambah hukuman denda RM341,000 kepada RM2.341 juta.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing antara empat tahun hingga tujuh tahun enam bulan menjadikan jumlah penjara adalah 37 tahun.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini menjadikan perayu hanya perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan enam bulan dan dia akan dipenjara tujuh tahun jika gagal membayar denda.
Hakim Anselm memutuskan demikian selepas menolak rayuan Hairudin selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman penjara berjumlah 14 tahun dan denda RM341,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 23 Oktober 2020.
Dalam keputusannya, Hakim itu turut mengetepikan perintah pembebasan oleh Mahkamah Sesyen sama terhadap pertuduhan pertama dan kedua yang dihadapi Hairudin selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam bulan serta denda RM1 juta bagi setiap pertuduhan.
Bagi pertuduhan ketiga, mahkamah mengenakan hukuman penjara enam tahun dan denda RM145,000 manakala bagi pertuduhan keempat hingga keenam, perayu dikenakan hukuman penjara masing-masing empat tahun dan didenda berjumlah RM149,000.
Namun, mahkamah mengekalkan hukuman penjara empat tahun dan denda berjumlah RM47,000, bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan memandangkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Melaka adalah memadai.
Hakim Anselm membenarkan permohonan perayu untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara rayuan terhadap keputusan hari ini difailkan di Mahkamah Rayuan.
Mengikut kesemua pertuduhan itu, Hairudin didakwa secara rasuah menerima suapan dalam bentuk wang tunai dan barang membaiki rumah seperti besi bumbung, atap genting, kayu anjung, jubin dan pintu rumah serta membaiki kenderaan berjumlah RM465,886.32 dari Januari hingga April 2017.
Suapan tersebut diterima daripada seorang individu sebagai upah membantu mendapatkan kerja di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar iaitu pembaikan bangunan dan pagar keselamatan di pondok pengawal, kerja pembaikan lapang sasar 'semi indoor' 25 meter dan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan kolam renang dan kolam junam di kompleks sukan maktab berkenaan pada 2016.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Parit Gantung, Sungai Rambai Melaka, Jasin, Melaka dan di sebuah bengkel kenderaan di Parit Keroma, Muar, Johor antara Disember 2016 dan April 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Wai Keong manakala Hairudin diwakili peguam Mohd Razak Sharif. - Bernama