CHUKAI - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bermula hari ini dengan pusat penamaan calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman di sini akan dibuka pukul 9 pagi nanti.
Semua calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus pusat penamaan calon sebelum diisytiharkan layak bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Disember sebagai hari pengundian.
Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 1 Disember.
Isnin lepas, Barisan Nasional (BN) menamakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 66, sebagai calon, manakala Pas memilih Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan tidak meletakkan calon pada PRK Parlimen Kemaman.
Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
Dalam pada itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu Rosli Zakaria menasihati mereka yang terlibat pada penamaan calon pagi ini supaya berhati-hati dan peka dengan perubahan sekeliling kerana hujan diramalkan melanda seluruh daerah Kemaman dari pagi sehingga petang nanti. - Bernama