Situasi di Hospital al-Shifa cukup menakutkan - Pakar Kesihatan

Iklan
Keadaan di sebuah bilik pembedahan dalam Hospital al-Shifa ketika sekitaran kawasan itu dikepung Israel, di Gaza, 12 Nov 2023. - Foto Reuters

SITUASI di Hospital al-Shifa di Semenanjung Gaza cukup menakutkan apabila persekitaran hospital terbesar di Gaza itu dikepung tentera rejim Zionis Israel.

Menurut pakar kesihatan hospital itu, Ahmed El Mokhallalati, keadaan di kompleks kesihatan itu bertambah sukar dan berbahaya untuk orang awam.

Iklan
Iklan

Ia terutama apabila tentera Israel sering melepaskan tembakan di kawasan tersebut.

Tentera Israel mula memasuki Hospital al-Shifa pada Rabu.

Iklan

Mereka mendakwa kumpulan pejuang Hamas mempunyai pusat ketenteraan di kompleks berkenaan serta timbul dakwaan wujud terowong serta kenderaan yang dipenuhi dengan senjata di Hospital al-Shifa.

Bagaimanapun, menurut Ahmed, sehingga kini, tiada sebarang senjata yang ditemui oleh tentera Israel di kawasan hospital sepertimana didakwa.

Iklan

"Ia adalah situasi yang sangat menakutkan. Di sini, kereta kebal Israel dan tentera Israel bergerak di dalam kawasan hospital, di seluruh hospital. Keadaan ini benar-benar sukar.

"Mereka menembak sepanjang masa, di semua kawasan. Mereka mengebom kawasan-kawasan tertentu di hospital.

"Mereka terus bergerak di sekitar hospital, cuba menghancurkan bangunan dan memastikan diri mereka selamat dengan menembak sesiapa sahaja yang cuba bergerak atau melihat apa-apa dari tingkap atau bergerak di sekitar bangunan hospital," katanya.

Kata Ahmed lagi, keadaan lebih memburuk apabila bekalan makanan dan minuman mulai kehabisan dan bantuan yang diperoleh tidak mampu menampung keperluan semasa di hospital itu.

"Apa yang berlaku ialah, orang ramai, kami kehabisan makanan, kami kehabisan air minuman.

"Kami memutuskan untuk bergerak sebagai satu kumpulan ke luar hospital, melalui pintu masuk dan cuba mendapatkan sesuatu.

"Dan kemudian, semalam, mereka mengaturkan untuk kami sedikit, hanya sedikit makanan dan air, yang sangat sangat minimum, yang hanya cukup mungkin untuk 40 peratus sahaja daripada jumlah orang di sekitar kawasan ini," katanya.

Ahmed juga berkata, tentera Israel ada membekalkan hidangan, namun hanya satu hidangan seperti roti dan air yang sedikit untuk semua orang awam yang berada di kompleks kesihatan al-Shifa. - Awani


Hospital Indonesia di Gaza terpaksa henti rawat pesakit, tiada sumber api dan ubat

SEMENANJUNG GAZA - Sebuah hospital di Semenanjung Gaza yang dibina dengan dana Indonesia kini ditutup kerana kekurangan bekalan, selepas beberapa hari cuba menyelamatkan operasi dengan bergantung pada panel solar, minyak masak dan bantuan sukarelawan, yang kini tidak dapat dihubungi.

Pengarah Hospital Indonesia, Atef al-Kahlout pada Khamis memberitahu Al Jazeera bahawa mereka sudah tidak boleh memberikan perkhidmatan lagi, malah sudah tidak mempunyai katil untuk menempatkan pesakit.

Masih terdapat 45 pesakit lagi yang memerlukan pembedahan segera, tetapi dia terpaksa meminta ambulans untuk berhenti menghantar mereka yang cedera lagi. Kira-kira 500 pesakit sedang menunggu rawatan, kata al-Kahlout, melebihi kapasiti maksimum iaitu 140 pesakit.

"Semua hospital di Bandar Gaza dan utara telah berhenti beroperasi," katanya.

Sarbini Murad, ketua kumpulan kemanusiaan Mer-C yang membina hospital itu pada 2011 dengan sumbangan AS$8 juta oleh Indonesia, memberitahu This Week in Asia pada Jumaat bahawa dia hanya mengetahui situasi hospital itu menerusi berita.

Sejak perang meletus pada 7 Oktober, pekerja dan sukarelawan di Hospital Indonesia di utara Gaza telah merawat ribuan rakyat Palestin dalam keadaan yang berisiko.

Seorang kakitangan terbunuh pada hari pertama serangan Israel ke atas Gaza, manakala serbuan Israel pada 26 Oktober turut membunuh keluarga dua orang doktor.

Dianggarkan lebih 1,700 orang meninggal dunia di Hospital Indonesia, dengan 600 adalah kanak-kanak dan lebih 300 adalah wanita.

Menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 14 November, hampir dua pertiga daripada 36 hospital Gaza tidak lagi beroperasi. Israel telah memutuskan akses kepada diesel, sekali gus menyukarkan pekerja kesihatan untuk memindahkan pesakit yang cedera parah ke Mesir.

Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin berkata, sebuah trak yang membawa lebih 23,000 liter diesel tiba di Gaza pada Rabu lalu, tetapi Israel melarang penggunaannya untuk pam air atau hospital di Gaza, sebaliknya hanya membenarkan penggunaan untuk menyampaikan bantuan. - Agensi

Pengarah Hospital Indonesia, Atef al-Kahlout pada Khamis memberitahu Al Jazeera bahawa mereka sudah tidak boleh memberikan perkhidmatan lagi, malah sudah tidak mempunyai katil untuk menempatkan pesakit. - Foto Reuters