ACHEH - Seorang ibu masih mengharapkan kepulangan anaknya meskipun dikatakan sudah terkorban ketika tsunami melanda Aceh pada tahun 2004.
Memetik laporan BBC Indonesia, Saudah, 59, kehilangan dua anaknya dalam bencana paling dahsyat di Aceh dan hari ini genap 15 tahun peristiwa bersejarah itu.
Saudah yakin anak bongsunya, Muhammad Siddiq masih hidup dan tetap mencarinya tanpa henti.
Naluri kuat mengatakan anaknya masih hidup setelah suaminya bermimpi Muhammad Siddiq dipelihara oleh seseorang di Jakarta.
"Sebelum ini, kami mencari tempat di mana-mana, sehingga pergi ke yayasan rumah anak yatim di Sumatera Utara tetapi belum dapat menemuinya.
"Tetapi suami pernah bermimpi Siddiq masih hidup dan ia dibesarkan oleh seseorang di Jakarta. Saya yakin anak lelaki saya masih hidup dan usianya kini 21 tahun," katanya.
Berbekalkan satu-satunya gambar Muhammad Siddiq dirakam ketika perkahwinan anak sulungnya di Medan, Sumatera Utara pada tahun 2003, Saudah mencari anaknya di seluruh pelusuk Sumatera.
Saudah tinggal di Kampung Punge Blang Cut, Banda Aceh, kini mendiami sebuah rumah di tepi pantai dan hadapan rumahnya terbentang tanah seluas 200 meter persegi.
Tersergam juga dua buah kapal milik kapal Pengawal Laut dan Pantai (KPLP) dan kapal Pentadbir Laut Malahayati di hadapan rumahnya selepas dihanyut gelombang tsunami.
Kata Saudah, ingatannya semakin pudar atas faktor usianya namun bencana tsunami masih segar tersimpan dalam memorinya.
"Pada masa itu saya mendengar bunyi yang kuat, saya fikir ia hanya bunyi angin tetapi selepas meninggalkan rumah, air naik sehingga paras dua tingkat rumah. Air sedang memusnahkan puluhan rumah.
"Sebaik sahaja saya melihat air, saya dukung Siddiq, banyak kali dia minta saya lepaskan dia untuk berjalan sendiri tetapi saya tidak mahu dia terlepas dari tangan ini. Namun akhirnya air memisahkan kami berdua," katanya sebak.
Menurut ibu kepada lapan anak ini, dia meluahkan rasa kekesalan kerana tidak menurut permintaan Muhammad Siddiq untuk dia lari dari ombak ganas tsunami.
Selepas setahun peristiwa hitam itu, Saudah dan keluarganya membina semula rumah di lokasi yang sama.
"Langkah itu diambil semata-mata berdasarkan kepercayaan bahawa Siddiq masih hidup dan suatu hari nanti boleh mencari keluarganya di tempat yang sama." katanya.
Difahamkan, selain Muhammad Siddiq, anak ketiga Saudah, Titin Agustina turut terkorban.
Dalam pada itu, gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Aceh pada tahun 2004 dan dikatakan mengorbankan hampir 280,000 mangsa, namun angka rasmi korban tsunami Aceh dicatatkan seramai 170,000 orang.