IPOH - Kulinari makanan tradisional Melayu mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Inisiatif yang dilaksanakan Hotel Casuarina@Meru memperkenalkan gabungan pelbagai hidangan tradisional negeri dalam satu talam memberi keunikan selera kepada pengunjung.
Pengurus Besarnya, Sabrina Ahmad Tah berkata, ia merupakan salah satu komitmen pihaknya merancakkan pelancongan gastronomi dengan sajian masakan negeri Perak.
"Matlamat utama promosi ini adalah bagi memberi pengalaman serta peluang untuk mencuba citarasa makanan tradisi dan fusion yang unik serta mengangkat negeri Perak sebagai destinasi pelancongan makanan utama.
"Kita mengalu-alukan kehadiran para tetamu untuk merasai sendiri keenakan masakan tradisional istimewa yang disajikan," katanya kepada pemberita pada pelancaran Promosi Makanan Tradisi Perak yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini pada Jumaat.
Menurut Sabrina, ikan patin masak tempoyak, rendang tok, pekasam ikan loma, daging masak hitam, kulat sisir bersama pucuk paku goreng antara makanan tradisi yang dihidangkan.
"Selain itu, kuih-kuih tradisional turut dhidangkan sebagai pemanis mulut antaranya, kuih Limas, Cecemek, Bubur Anak Lebah, Puteri Mandi dan pelbagai lagi.
"Makanan ini berlangsung sehingga Disember tahun depan dan menu hidangan akan berubah setiap bulan mengikut sajian tradisi daerah-daerah negeri ini," katanya.
Tambah beliau, promosi itu diharap dapat membantu pertumbuhan industri pelancongan negeri.
"Set talam ini sudah diperkenalkan sejak September lalu dan kita menerima maklum balas baik daripada pengunjung terutama hidangan rendang tok.
"Makanan tradisi ini akan diperkenalkan di rangkaian Casuarina di Kuala Kangsar dan Pulau Pangkor tidak lama lagi," katanya.