IPOH - Politeknik Ungku Omar (PUO) mengambil inisiatif membina empat bingkai penapis gerhana matahari bagi membolehkan orang ramai menyaksikan fenomena gerhana matahari separa di pekarangan Medan Selera Dataran Dato Sagor di sini hari ini.
Binaan kayu mempunyai penapis solar itu adalah hasil ciptaan penuntut Unit Geomatik dari Jabatan Kejuruteraan Awam.
Pensyarahnya, Masrita Mohamad berkata, penghasilan inovasi itu adalah gabungan idea pelajar untuk berkongsikan fenomena istimewa itu bersama pengunjung yang tidak dapat melihat melalui teleskop.
"Frame solar eclipse filters dibina selepas kami disarankan untuk buat sesuatu yang orang ramai boleh lihat bersama-sama kerana kebiasaannya gerhana hanya boleh dilihat melalui alat-alat khas.
"Kami mengeluarkan kos untuk pembelian penapis solar dan cermin manakala binaan kayu ini pula adalah idea pelajar menggunakan bahan yang sedia ada di bengkel," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Menurutnya, inovasi mereka turut ditempatkan di dua lokasi cerapan iaitu Masjid At-Taqwa, Proton City di Tanjung Malim serta Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran Air Jernih, Gerik.
Sementara itu, 32 pelajar Kelab Al-Biruni Astronomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah menyediakan teleskop dan kaca mata penapis matahari untuk mencerap gerhana matahari.
Presidennya, Aidil Nur Afif Aidil Sabri berkata, fenomena itu adalah kemuncak bagi ahli kelab mereka untuk mencerap fenomena yang jarang sekali berlaku itu.
"Pelbagai persediaan dilakukan untuk hari ini dengan membeli penapis untuk teleskop dan sebagainya untuk melihat gerhana yang kali terakhir berlaku sejak tahun 1998 lagi.
"Selepas kelab ini ditubuhkan, kami banyak membuat cerapan bulan penuh malah boleh melihat planet musytari dan zuhal melalui teleskop," katanya.
Menurutnya, menjadi misi dan visi kelabnya untuk memperkenalkan dan mengenali ilmu falak dalam kalangan mahasiswa.