SHAH ALAM - Lebih 1,000 penduduk Bukit Jelutong di sini berhimpun mendesak projek pembangunan 425 unit rumah atas padang golf berkeluasan 28 hektar tidak diteruskan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Jelutong (BJRA), Zien Hashim berkata, bantahan tersebut sebagai ikhtiar penduduk bagi mempertahankan peninggalan kawasan hijau terakhir dalam komuniti mereka yang mahu diubah menjadi hutan konkrit.
Menurutnya, mengikut pelan asal Bukit Jelutong, kawasan berkenaan dijanjikan 'club house' untuk rekreasi tetapi telah ditukar satu persatu menjadi rumah kedai dan dikelilingi pembangunan lain hingga menyebabkan penduduk kehilangan banyak kemudahan.
"Jadi apabila padang golf pun mahu ditukar menjadi projek pembangunan, penduduk bangkit untuk nyatakan bantahan," katanya pada himpunan aman Bukit Jelutong Bersatu: Mengekalkan Warisan Hijau Kami di U8, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.
Zien berkata, pihaknya berharap himpunan tersebut mendapat perhatian daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk membatalkan kelulusan kebenaran merancang yang dikeluarkan September lalu.
"Selama ini penduduk sokong pemaju dengan membeli hartanah di sini maka pemaju perlu hormati suara pelanggan," katanya.
Beliau pada masa sama memaklumkan akan mengambil langkah susulan yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa termasuk tindakan undang-undang yang sedang dalam pertimbangan.
Sementara itu, Muhammad berkata, pemaju telah mengaut keuntungan susulan pembangunan di Bukit Jelutong dan sewajarnya pulangan itu dikembalikan kepada penduduk untuk kawasan riadah seperti padang golf dan bola serta trek jogging.
"Padang di sini sudah tak ada, satu telah diiklankan, satu lagi padang pula hanya untuk kegunaan persendirian berbaki satu lagi kosong yang mahu dimajukan. Apa lagi padang yang penduduk ada?
"Kerajaan atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga alam sekitar bukan NGO seperti kami, tapi disebabkan MBSA membuat keputusan tanpa rujuk penduduk menyebabkan kami terpaksa mengambil tindakan," katanya.
Tambahnya, penduduk Bukit Jelutong bakal berdepan masalah kesesakan jalan dan mengundang banjir jika projek tersebut diteruskan.
Sementara itu, Mohd Najwan berkata, pihaknya akan menjadi pemudah cara mengatur pertemuan antara penduduk, pemaju dan MBSA bagi mencari penyelesaian isu berkenaan.