SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu bergelar 'Mr H' susulan isu rakaman video tular mengenai perbualan lucah yang dikaitkan dengan dua individu termasuk Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti individu berkenaan seperti yang turut dikaitkan dalam kes terbabit.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan siasatan kes terbabit telah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
Beliau turut memberitahu, pihaknya telah selesai merakam keterangan Mohammad Agus.
"Keterangan beliau (Mohammad Agus) telah diambil pada Jumaat selepas laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang," katanya.
Pada Jumaat, dalam sidang akhbar, Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi dikenali Mr H untuk merakam satu klip video bagi memerangkap bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.
Abdul Wahab, 33, mendakwa Mr H pernah membuat beberapa pertemuan dengannya dan menawarkan jawatan lebih tinggi sebagai habuan.
Dalam pada itu, Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.
Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pada Khamis, satu rakaman video berdurasi 3.03 minit membabitkan kes berkenaan tular hingga menjadi topik hangat di media sosial.