PRK Kemaman: Tak salah MB jadi ahli Parlimen - Ahmad Samsuri

Iklan
Ahmad Samsuri (kanan) bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (dua dari kanan) ketika sidang akhbar selepas proses penamaan calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai pada Sabtu.

KEMAMAN - Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, bukanlah satu kesalahan untuk Menteri Besar menjadi ahli Parlimen.

Malah katanya, dalam keadaan tertentu, banyak isu negeri yang boleh dibawa terus ke Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

"Dalam PRK kali ini, saya melihat akan ada banyak isu tempatan dan nasional ditimbulkan. Saya percaya, mampu untuk menggerakkannya (untuk diselesaikan).

"Kalau terpilih, kita akan dapat perkukuhkan dan perkemaskan gerak kerja kebajikan untuk rakyat.

Iklan

"Isu banjir misalnya, tak kira pilihan raya, kita memang sentiasa bersedia malah persediaan seperti simulasi dan sesi libat urus juga dibuat. Cuma, harapannya supaya tahun ini tidak berlaku banjir besar," katanya.

Ahmad Samsuri bersalaman dengan calon BN Jeneral (B), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai pada Sabtu.

Iklan

Ditanya tentang lawannya, Ahmad Samsuri menyatakan amat menghormati peranan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dan sebagai calon yang bertanding.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang akan dicabar calon Barisan Nasional (BN) iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam pertandingan satu lawan satu.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab (tengah) mengumumkan calon yang akan bertanding pada PRK Parlimen Kemaman di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto Bernama

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya itu.

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.