KOTA BHARU - Perbuatan amalan sihir dalam kalangan masyarakat hari ini masih berlaku meskipun zaman silih berganti dan kecanggihan teknologi semakin menguasai kehidupan.
Benarlah, perasaan hasad dengki yang memaksa individu menggunakan jalan pintas untuk berkompromi secara syirik.
Berkongsi kisah itu di Facebook, Md Iruwan menerima satu bungkusan dari kiriman pos yang menyangkakan adalah barangan.
Namun setelah membukanya, dia terkejut menemui dua patung berbungkus seperti mayat, sekeping foto keluarganya dan beberapa paku termasuk sehelai kain kuning.
"Pada yang buat benda ni, terimalah balasan Tuhan nanti, setahu saya, tiada musuh pun, terkejut kelmarin buka sampul surat dapat benda macam ini. Gambar ini saya tahu kamu ambil dalam Facebook saya.
"Dan saya tahu kamu ikuti perkembangan dalam Facebook. Saya tidak akan balas perbuatan mu ni tapi ingatkan kuasa Tuhan lebih dari segala-galanya. Kalau jadi apa-apa atas keluarga saya, mu jawab la nanti. Tuhan maha adil dari segala-galanya," luahnya.
Md Iruwan berkata, individu itu dikatakan mahu pecahbelahkan keluarganya.
"Saya minta doa dengan Tuhan supaya Tuhan tunjuk dan azab sesiapa yang sanggup buat macam ini kepada keluarga ini.
"Saya tidak takut mati sebab mati itu pasti kepada setiap yang hidup tetapi saya minta pada Tuhan panjangkan umur ku kerana amalan ku masih tidak cukup, anak-anak masih kecil. Ya ALLAH saya pohon pada mu, Kau tunjukanlah kebenarannya nanti. Amin," tambahnya.
Dalam pada itu, Md Iruwan juga mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya kerana mendoakan keselamatan dan kesejahteraan keluarganya.
"Tuhan maha berkuasa di atas semesta alam. Semoga doa saya dan doa sahabat ku semua akan dimakbulkan. Amin," katanya.
Sementara itu status Md Iruwan menjadi perhatian netizen dan rata-ratanya terkejut perkongsian tersebut malah sempat berkongsi amalan bagi menghindari perbuatan syirik.
Izi Sevenzeronine berkata,"Jangan tinggal 3 Kul, ayat kursi, dan 2 surah terakhir al-Baqarah ketika waktu subuh dan isyak. Insya-ALLAH, sebesar mana sihir, ALLAH lagi besar. Amin."
Kata Alif Hakim Md Iruwan pula,"Kalau boleh, bawa semua barang tu, jumpa dengan perawat Islam yang patuh syariat untuk ditawar semula. Semua barang itu mempunyai 'isi'. Apa-apa pun, kita hanya mampu ikhtiar, selebihnya serah pada ALLAH yang maha kuasa. Sabar dan percayalah sesungguhnya perbuatan syirik adalah dosa besar yang tidak diampunkan ALLAH SWT."
Tambah Muhamad Firdaus Rosli,"Ya ALLAH kau lindungi sahabat ini yang teraniaya. Semoga keluarga Wan sentiasa dilindungi ALLAH. Semoga si pelaku itu menerima balasan yang setimpal. Amin."