KUALA LUMPUR - Unit Risikan Siber di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berterusan melaksanakan pemantauan di media sosial bagi kesan kegiatan pengedaran ketum di medium terbabit.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, ini termasuklah aplikasi sosial Facebook, Instagram, X, TikTok, Telegram selain platform e-dagang seperti Lazada serta Shopee.
Menurutnya, perkembangan pesat teknologi secara tidak langsung mengubah modus operandi yang digunakan oleh pengedar-pengedar dalam menjalankan aktiviti pengedaran.
"Mereka mula menggunakan laman-laman sesawang e-dagang, aplikasi dalam telefon mudah alih seperti WhatsApp dan Telegram, laman sosial mahu pun 'dark web' sebagai medium pengedaran baharu.
"Saya memberi amaran keras kepada individu yang masih giat menjalankan perniagaan haram seperti penjualan daun ketum dan produk-produk berkaitan di laman media sosial agar dapat memberhentikan serta-merta aktiviti haram mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mohd Kamarudin berkata, sebanyak 19 pemantauan dijalankan di media sosial Facebook membabitkan individu serta kumpulan, manakala 12 pemantauan di platform e-dagang.
Katanya, tindakan tegas di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 boleh dikenakan ke atas mereka sekiranya didapati melanggar undang-undang.
Jelasnya, niat tidak pernah akan menghalalkan cara sungguh pun pelbagai alasan tidak logik yang diberikan.
"Sekali lagi saya ingin tegaskan kepada semua pihak bahawa JSJN tidak akan berkompromi atau pejam mata dengan mana-mana pihak yang masih berani menjalankan aktiviti perniagaan ketum melalui media sosial atau pun platform e-dagang," katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif mendedahkan aktiviti mempromosi dan penjualan ketum yang menggunakan platform media sosial di Facebook.
Menerusi pendedahan itu, ada individu yang secara terbuka menawarkan penjualan air, daun serta serbuk ketum dengan harga tertentu berdasarkan berat di satu laman 'grup' khas.
Mereka yang berminat diminta untuk menghubungi penjual terbabit di aplikasi media sosial untuk membuat tempahan selain menawarkan khidmat penghantaran 'COD' ke lokasi tertentu.
Lebih mengejutkan, ada penjual yang menggunakan beg e-hailing untuk penghantaran air ketum dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa.