KUALA SELANGOR - Kerajaan negeri Selangor digesa mengagihkan baucar Jom Shopping Deepavali secara adil kepada kaum India yang memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, banyak rungutan diterima beliau daripada kaum berkenaan yang tidak menerima bantuan berkenaan.
Menurutnya, pemberian baucar itu hendaklah diberikan secara telus dan tidak mengetepikan rakyat di DUN yang dimenangi pembangkang.
"Saya memandang baik apa jua inisiatif berkebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri seperti Baucar Jom Shopping ini, tetapi jangan indah khabar dari rupa.
"Bagi saya, apa-apa inisiatif berkebajikan ini seharusnya diberikan terus kepada rakyat secara adil dan saksama di semua DUN tanpa mengira pembangkang atau pun kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Deepavali di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Permatang, Jalan Peninsula Utama, di sini pada Sabtu.
Nurul Syazwani memberitahu, perkara itu juga dibangkitkan beliau semasa sesi pertanyaan tambahan pada sidang DUN baru-baru ini.
Sehubungan itu, katanya, insentif berkebajikan ini seharusnya bergerak kepada digitalisasi bagi membolehkan pengagihannya terus kepada penerima yang layak.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan mereka yang amat memerlukan tidak keciciran menerima sumbangan.
Mengulas mengenai program itu, seramai 200 kaum India menerima sumbangan barangan makanan sebagai tambahan kepada program ziarah rumah ke rumah yang dilaksanakan sebelum ini.
"Secara keseluruhannya, kita telah mengagihkan 500 sumbangan barangan keperluan kepada penerima sempena Deepavali bagi membantu meringankan beban golongan miskin dan berpendapatan rendah," jelasnya.
Beliau memberitahu, rata-rata kaum India di DUN Permatang menetap dan bekerja di ladang serta berpendapatan rendah.
"Kebanyakan mereka ini bukan saja ketinggalan dari segi infrastruktur pembangunan, malah ada dalam kalangan mereka masih lagi di bawah garis kemiskinan," tambahnya.