TANAH MERAH - Beras import yang dijual murah berbanding harga pasaran pada Program Jualan Rahmah di Dataran Durian Kampung Jelatok di sini hari ini, menjadi antara barangan yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
Penoreh getah, Suhaimi Mohd Shafie, 44, dari Kampung Bukit Tebu berkata, beras import 10 kilogram (kg) dijual pada harga RM27.72 berbanding harga pasaran RM44.
"Saya beli dua kampit beras import hari ini, dapat jimat hampir RM34.
"Walaupun pembelian dihadkan hanya dua kampit seorang, ia masih berbaloi kerana pembelian ini boleh menampung keperluan saya bersama empat ahli keluarga lain mungkin dalam tempoh satu atau dua bulan," katanya.
Suhaimi berkata, Program Jualan Rahmah amat bermakna buat penduduk yang kurang berkemampuan memandangkan harga barangan ditawarkan murah berbanding harga pasaran.
"Program ini membantu saya membeli barangan keperluan asas buat keluarga kerana boleh menjimatkan kos perbelanjaan bulanan terutama ketika musim hujan ini kerana saya bekerja sebagai penoreh getah," katanya.
Bagi Siti Norhidayu Abdullah, 35, dari Kampung Belimbing berkata, penjimatan hampir RM17 apabila membeli beras import pada program itu, membolehkan beliau membeli keperluan harian lain.
"Saya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan suami bekerja kampung, jadi kami perlu buat perkiraan sebelum membeli kerana kebanyakan harga barangan meningkat," katanya.
Sementara itu, pembantu kedai, Blimbey Mini Mart Muhammad Aziman Mohd Anuar berkata, pihaknya menyediakan 200 kampit beras 10 kg pada program itu.
"Beras, gula dan minyak masak menjadi tumpuan pelanggan pada program ini untuk mendapatkan barangan dengan harga murah.
"Program ini diadakan sehari bermula 9 pagi hingga 6 petang. Jualan hari ini dijangka beri manfaat kepada 1,000 penduduk sekitar," katanya. - Bernama