KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Media antarabangsa di Malaysia hadir memberi sokongan pada penganjuran perhimpunan aman 'Save Press 4 Gaza' (SP4G) yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu.
Wartawan HBL Network News Agency, Halim Berbar berkata, tanda solidariti yang ditunjukkan wartawan Malaysia berhubung nasib penduduk Palestin sewajarnya mendapat pujian.
Dia yang sudah berada di Malaysia sejak 32 tahun lalu berkata, secara peribadi, penganjuran aman itu sangat baik dipertonjolkan kepada dunia bagi menentang penindasan dan keganasan rejim Zionis.
"Saya mahu hadir pada hari ini (Sabtu) sebagai tanda sokongan dan menentang kezaliman yang berlaku di Palestin.
"Saya menyokong penganjuran himpunan aman ini 100 peratus," kata warganegara berasal dari Perancis itu kepada Sinar Harian pada Sabtu
Hampir 100 pengamal media berhimpun di Dataran Merdeka bagi menunjukkan solidariti dan sokongan penuh terhadap nasib seluruh rakyat di Gaza.
Perhimpunan aman SP4G disertai 25 kelab media Malaysia antaranya National Union Journalist (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), Crime Journalist Association (CIJA) serta Foreign Correspondent's Club Malaysia.
Sementara itu, Ketua Biro Al Jazeera Malaysia, Samer Allawi berkata, dia secara peribadi berasa sangat terharu dengan penganjuran SP4G.
Dia yang merupakan rakyat Palestin berkata, sokongan rakan media di Malaysia kepada rakyat di negara asalnya itu merupakan satu 'pengzahiran' berani menentang rejim zionis Israel.
Katanya, ramai rakan sekerjanya sama ada wartawan, 'youtuber' dan 'blogger' yang berada di Gaza telah hilang ahli keluarga mereka.
"Ada antara mereka turut diugut dan diberi amaran semasa menjalankan tugas serta melaporkan apa yang berlaku di Gaza.
"Bukan sahaja berdepan ugutan, malah mereka terpaksa berpindah rumah serta ahli keluarga dibunuh," ujarnya.