Kurniaan pingat pembakar semangat Shafiq, Rifdean buru kejuaraan dunia

Iklan
Muhd Shafiq (kiri) dan Mohamad Rifdean menerima penganugerahan PJK pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu.

SEMANGAT dua atlet muda negara, Muhd Shafiq Puteh, 27, dan Mohamad Rifdean Masdor, 21, semakin membara untuk mencipta lebih banyak kejuaraan di pentas dunia selepas dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-67.

Muhd Shafiq yang mempamerkan aksi cemerlang dengan pingat gangsa acara terjun 3 meter papan anjal seirama di Sukan Asia 2022 di Hangzhou berazam melakukan sehabis baik untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ujian kelayakan terakhir ke temasya sukan terbesar itu akan diadakan pada awal Februari depan di Qatar dengan penyertaan lebih 60 atlet terjun seluruh dunia.

"Penganugerahan pingat ini sudah tentu menjadi motivasi kuat untuk saya berusaha lebih baik.

Iklan

"Untuk pusingan kelayakan Olimpik tahun depan, saya akan berikan 100 peratus untuk pastikan saya mendapat tempat mewakili negara," katanya kepada pemberita sempena sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.

Anak kelahiran Ipoh itu turut menyifatkan penganugerahan pingat itu sebagai satu lagi rekod pencapaian peribadi dalam arena sukan.

Iklan

"Ini membuktikan segala usaha dan hasil saya sebelum ini dihargai. Terima kasih Perak dan Majlis Sukan negara (MSN) atas pengiktirafan ini," katanya.

Sementara itu, juara dunia tiga kali Kejohanan Dunia Muaythai, Mohamad Rifdean berkata, penganugerahan PJK amat bermakna buat dirinya selepas merangkul Anugerah Olahragawan Perak 2022.

Bagi anak kelahiran Sarawak itu, pingat tersebut akan dijadikan pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara dalam kejohanan yang disertai, paling terdekat King's Cup Thailand 2023 di Bangkok pada bulan depan.

"Saya bersyukur kerana saya dah buat yang terbaik. Bagi saya, kalau nak jadi atlet, pastikan kita menjadi atlet yang sebenar-benarnya. Perlu ada usaha dan semangat dan kemudian tawakal kepada ALLAH," katanya.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan darjah dan pingat kepada 209 penerima termasuk 17 penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 31 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 20 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 42 penerima dan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada 57 penerima.

Ini diikuti pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 31 penerima dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 11 penerima.

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan ratu 400 meter Asia Tenggara, Shereen Samson Vallabouy yang tersenarai sebagai penerima pingat sama bagaimanapun tidak dapat hadir kerana perlu meneruskan program latihan dan urusan pengajian di luar negara.

Sesi pertama istiadat pada 5 November lalu menyaksikan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak.

Sempena ulang tahun hari keputeraan baginda tahun ini, Sultan Nazrin telah memberi perkenan pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada seramai 238 penerima.