MANILA - Angka kematian akibat gempa bumi dengan magnitud 6.8 yang melanda selatan Filipina pada petang Jumaat meningkat kepada enam, dengan dua lagi masih hilang, lapor Xinhua memetik kenyataan agensi bencana Filipina pada Sabtu.
Edgardo Posadas, pengarah Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, berkata butiran kematian dan kehilangan yang dilaporkan di wilayah selatan Mindanao sedang dikenal pasti.
Posadas berkata, sekurang-kurangnya 450 penduduk di kawasan yang dilanda gempa memerlukan rawatan perubatan.
Gempa luar pesisir pada 4.14 petang waktu tempatan (0814 GMT) Jumaat berlaku pada kedalaman 72 km, kira-kira 34 km barat laut bandar Sarangani di wilayah Davao Occidental.
Gegaran yang turut dirasai di beberapa kawasan di pulau Mindanao merosakkan bangunan dan rumah. Gegaran susulan terus menggegarkan wilayah itu.
Agensi bencana sedang menilai mangsa yang terlibat dan kerosakan akibat gempa itu.
Kepulauan Filipina kerap dilanda aktiviti seismik berikutan lokasinya di sepanjang"Lingkaran Api” Pasifik. - Bernama