JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah agar jalinan muhibah dieratkan selain kebaikan disebarkan tanpa mengira bangsa atau agama termasuk dengan pelajar-pelajar dari luar negara.
Titah baginda, persaudaraan sesama manusia dilihat sebagai antara nilai-nilai teras yang terpenting dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang bertamadun, beradab, dan berdaya saing.
Baginda turut bertitah, ketegangan geopolitik dunia sedikit sebanyak juga memberikan kesan kepada rakyat Malaysia.
"Kita telah melihat kemusnahan dan ketidakcukupan makanan disebabkan oleh kemarau, banjir, gempa bumi dan peperangan. Kita boleh menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang menghadapi keperitan kehidupan ini tetapi biarlah kita menanganinya dengan cara bijak.
"Sebagai pusat pengajian tinggi yang tersohor, UTM telah memberi peluang kepada beberapa pelajar antarabangsa untuk mendapat pendidikan di Malaysia. Ini adalah satu usaha yang mulia,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-67 di Dewan Sultan Iskandar UTM, di sini pada Sabtu.
Turut berangkat, isteri Tunku Mahkota Johor yang juga merupakan Pro-Canselor UTM Yang Amat Mulia, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Tan Seri Dr. Mohd Salleh Mohd Nor.
Istiadat Majlis Konvokesyen ke-67 yang berlangsung selama enam hari sehingga Khamis depan menyaksikan seramai 7,804 graduan menerima skrol termasuk penerima Hadiah Akademik pada majlis konvokesyen berkenaan.
Raja Zarith Sofia bertitah, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di UTM seperti program Serambi Al-Quds bagi membantu rakyat Palestin menyambung pengajian di universiti tersebut.
"Saya mengucapkan tahniah kepada UTM kerana berjaya mencatatkan pencapaian yang membanggakan bagi kebolehpasaran graduan yang tertinggi iaitu 99 peratus di kalangan universiti awam serta pencapaian gaji premium tertinggi di Malaysia. Adalah diharap agar graduan UTM dapat menyumbang kepada pembangunan negara kita,” katanya.
Sementara itu Raja Zarith Sofiah bertitah, selaku suri kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda juga bertanggung jawab menolong rakyat di negeri ini.
Baginda bertitah, masih ramai yang hidup dalam keadaan daif selain tidak mendapat makanan yang mencukupi bagi keluarga masing-masing.
"Dalam masa sama, ada ramai umat Islam yang sedang menderita, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan sesungguhnya kami menyedari penderitaan akibat keganasan yang dirasai oleh ramai rakyat di negara-negara yang dilanda dengan kesan-kesan setelah keganasan sudah dilakukan.
"Oleh demikian, marilah kita menolong mereka yang terdekat seperti di negeri dan negara kita. Pada masa yang sama, kita juga pertimbangkan cara yang sesuai bagi menolong mereka yang sedang dizalimi di negara luar,” titah baginda.