PRK Kemaman: Tindakan MP Bersatu sokong kerajaan perlu jadi panduan

Iklan
Adly (kiri) pada sidang akhbar selepas perasmian penutup Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Kubang Pasu, pada Sabtu.

JITRA - Peralihan sokongan Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dijadikan panduan dalam memilih wakil rakyat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, kecelaruan politik dalam Bersatu itu sewajarnya dinilai oleh pengundi agar lebih bersikap terbuka memilih wakil rakyat yang dapat membangunkan kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ahli Parlimen yang sealiran politik dengan kerajaan Persekutuan dapat memastikan pembangunan di Kemaman tidak terpinggir.

"Perubahan pimpinan Bersatu sendiri yang menyokong Kerajaan Perpaduan akan menyebabkan rakyat lebih terbuka untuk menilai isu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian penutup Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Kubang Pasu di sini pada Sabtu.

Iklan

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang dilihat tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Madani.

"Tidak bersetuju mahu kritik itu soal kedua. Kalau selari politik mudah bekerjasama dan boleh bangunkan kawasan Parlimen sebaiknya. Kemaman harus bersama dengan Kerajaan Madani jika mahu mendapat manfaat daripada kerajaan yang stabil, ” jelasnya.

Iklan

Menurutnya lagi, Amanah membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi memenangkan calon BN, bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Kemaman.

"Saya tak nafikan Kemaman sebenarnya kerusi utama BN (UMNO), cuma dalam pilihan raya ke-14 Pas mula memenangi kerusi itu dengan majoriti sekitar lebih 2,000 saja.

"Namun BN ada kelebihan, selain calon anak tempatan, beliau pernah berkhidmat dalam angkatan tentera dan dikenali,” jelasnya lagi.

Raja Mohamed Affandi akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, pada 2 Disember yang ditetapkan sebagai hari mengundi.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.