LPP ringankan beban kakitangan

Iklan
Mazlan (kiri) membantu penerima memilih baju sekolah sempena Program Back To School Anggota Ibu Pejabat LPP. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

SUBANG JAYA - Seramai 51 anak-anak kakitangan kumpulan pelaksana Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Ibu Pejabat, menerima bantuan persekolahan sempena Program Back To School di sini semalam.

Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman berkata, inisiatif itu sebagai tanda keprihatinan LPP bagi meringankan beban kakitangan untuk menyediakan keperluan anak-anak yang masih bersekolah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penerima bantuan adalah terdiri daripada kakitangan Gred 19 ke bawah dan masing-masing menerima baucar pembelian tunai Mydin bernilai RM150 bagi setiap anak.

Anak-anak kakitangan ibu pejabat LPP ceria membeli kelengkapan sekolah di Mydin USJ 1 semalam. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

"Pada tahun ini kita hadkan dua anak bagi setiap kakitangan. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban kakitangan. Kita akan lihat semula jika ada keperluan untuk menambahkan nilai bantuan tahun hadapan.

Iklan

"Pada masa sama, bermula tahun hadapan kita akan kembangkan program bantuan ini untuk anak-anak bagi kakitangan di peringkat negeri,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan Program Back To School di Mydin USJ 1 di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Norlizah Muhamad dan Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat Mydin, Mohd Tarmizi Mustafaha.

Iklan

Program julung kali yang merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPP itu dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Dalam pada itu, Mazlan turut menyatakan komitmen untuk menambahkan bantuan daripada segi bayaran yuran persekolahan anak-anak bagi kakitangan yang tidak berkemampuan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya berhasrat memperluaskan skop bantuan kebajikan kepada masyarakat peladang dan kakitangan supaya tidak terhad kepada aspek pelajaran semata-mata.

Katanya, cadangan penukaran nama Yayasan Pelajaran Nafas kepada Yayasan Peladang akan diusulkan pada mesyuarat agung tahunan akan datang.

Norlizawati Shahirry, 35, (kiri) membantu anaknya Muhammad Ridzuan Nasrullah Husaini, 16, memilih kelengkapan sekolah. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

"Dengan perluasan skop itu aktiviti kebajikan akan lebih menyeluruh tidak hanya pada bantuan pelajaran tetapi juga bantuan untuk misi kemanusiaan, bencana dan juga kesihatan atau kematian.

"Program untuk mengumpul dana kebajikan juga akan diadakan yang mana saya yakin lebih banyak bantuan boleh disalurkan bukan hanya untuk masyarakat peladang tetapi untuk kebajikan kakitangan,” katanya.

Sementara itu, kakitangan LPP, Khuzaimah Mohd Assa’ari, 35, berkata, dua anaknya, Muhammed Sirhan Asif Mohd Saiful, 10 dan Mohammed Sirhan Irsyad, 8, menerima bantuan baucar pembelian tunai Mydin bernilai RM150 untuk membeli kelengkapan persekolahan.

Khuzaimah dan anak-anaknya, Muhammad Sirhan Irsyad (tengah) serta Muhammad Sirhan Asif, 10, memilih baju sekolah di Mydin. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

"Biasanya setiap tahun anak-anak hanya ada baju sekolah sepasang setiap seorang. Tapi untuk tahun depan mereka dapat sepasang lagi baju dengan bantuan ini,” katanya.

Dia yang sudah 11 tahun berkhidmat berasa amat bersyukur kerana diberi peluang mendapat bantuan daripada LPP.

Seorang lagi kakitangan, Hamzah Ramli, 49, turut berterima kasih kepada LPP yang mengambil berat terhadap anggota bawahan.

Katanya, bantuan yang diterimanya itu meringankan beban perbelanjaan untuk menyediakan kelengkapan dua anaknya, Nurhannina Asfa, 11 dan Nurhannani Asfa, 14 bagi menempuh sesi persekolahan baharu.

"Setiap tahun sekurang-kurangnya RM2,000 saya belanjakan untuk kelengkapan anak-anak bersekolah. Terima kasih pada pihak pengurusan yang prihatin dengan saya dan rakan sekerja lain,” katanya.

Mazlan bersama tetamu kehormat, kakitangan LPP dan anak-anak yang menerima baucar pembelian tunai Mydin bernilai RM150 sempena Program Back To School. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI