Atlet mendayung negara bawa pulang pingat emas dari China

Iklan
Shukri (tengah) menerima pingat emas acara single scull CM1X lelaki Kejohanan Mendayung Masters Pesisir Pantai Regata Asia 2023 di Qingdao, China.

ATLET mendayung negara, Muhammad Shukri Sulaiman meraih pingat emas acara single scull CM1X lelaki Kejohanan Mendayung Masters Pesisir Pantai Regata Asia 2023 di Qingdao, China hujung minggu lalu.

"Shukri adalah bekas atlet mendayung Sukan SEA negara menamatkan saingan dalam jarak 1.6 kilometer (km) dengan catatan masa 10 minit 33.19 saat (s) dalam kategori Masters C (had umur 43-49) mengetepikan wakil tuan rumah, Wang Xuegang dan Lin Yi di tempat kedua dan ketiga.

Iklan
Iklan

"Shukri juga terpaksa bersaing di kejohanan anjuran Persekutuan Mendayung Asia (ARF) dalam cuaca sejuk iaitu lima darjah selsius dan tiupan angin kuat,” kata Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama) dalam satu kenyataan.

Kejuaraan peringkat Asia itu menyaksikan sembilan negara mengambil bahagian iaitu tuan rumah, China, Indonesia, Kuwait, Malaysia, Myanmar, Thailand, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Iklan

Pasukan mendayung negara yang terdiri daripada tiga atlet lelaki dan tiga wanita turut merangkul gangsa menerusi Nur Afiqah Zamia Sumeri dalam acara Masters A (had umur 27-35) Single Scull Wanita CW1X.

Afiqah Zamia sebelum itu bersama gandingan Mohd Arif Ashraf, Nurafika Nordin, Muhammad Aiman Aziz dan Nurul Amira Norhadi menambah koleksi gangsa bagi acara Masters A campuran coxed quad CMix4X.

Iklan

Sebagai rekod, mendayung pesisir pantai adalah acara baru dalam sukan mendayung, selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan kemasukan Mendayung Pecut Pantai, antara satu format Mendayung Pesisir Pantai dalam program Sukan Olimpik Los Angeleas 2028 sekali dengan acara Mendayung Klasik.

Sementara itu, Presiden Perdama, Norhadi Ishari berkata, ini merupakan kali ketiga Malaysia menyertai dalam kejohanan mendayung pesisir pantai.

"Kemenangan atlet Malaysia dalam kejohanan Asia Masters ini memberi peluang dan harapan kepada Perdama dalam pencarian pingat emas sukan SEA dan kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Perdama akan mengambil kesempatan ini untuk membudayakan mendayung pesisir pantai sebagai sukan kebangsaan di mana negara kita mempunyai banyak pantai semula jadi yang cantik untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa.

"Ini secara tidak langsung menjana pendapatan ekonomi menerusi sports tourism dengan kos penganjuran yang jauh lebih rendah berbanding acara mendayung mendayung klasik yang memerlukan lokasi air seperti empangan dan tasik buatan besar yang menelan kos yang tinggi dan sukar diakses oleh pendayung,” katanya.