Mantapkan jentera tengah Harimau Malaya

Iklan
Skuad Harimau Malaya menjalani Sesi Kem Latihan sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Wisma FAM Kelana Jaya. - Foto Bernama

JENTERA tengah Harimau Malaya perlu diperkemaskan oleh pengendali Kim Pan-gon menjelang aksi kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan di Stadium Perbandaran Taipei pada Selasa ini.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Fauzi Pilus mengesan kelemahan di bahagian 'jantung' skuad negara yang kurang menyerlah di sebalik momentum luar biasa yang ditunjukkan di bahagian serangan dan pertahanan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelompongan di bahagian tengah menyaksikan Arif Aiman Hanapi perlu bekerja keras untuk membuat gerakan dan turut mencipta semua bantuan gol ketika aksi menentang Kyrgyzstan.

"'Recovery' pemain tengah untuk bantu pertahanan apabila diserang itu agak lambat sedikit selain hantaran-hantaran ke bahagian depan yang agak minimum.

Iklan

"Kita tengok apabila Pan-gon membuat perubahan memasukkan Endrik Dos Santos, Paulo Josue dan Akhyar Rashid nampak ada impak. Kita sudah ada momentum yang baik dan bahagian tengah ini kalau dapat diperbaiki kita akan lebih kuat," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam aksi pertama Kumpulan D pada Khamis lalu, skuad negara berjaya membenam pasukan di ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan 4-3 sekali gus memulakan kempen Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan langkah kanan.

Iklan

Harimau Malaya dijadualkan bertemu pasukan di ranking ke-152, Taiwan dalam aksi kedua Selasa ini.

Beliau berkata, pasukan negara sememangnya perlu dipuji melihatkan kepada sikap positif tidak menyerah kalah walaupun ketinggalan pada satu ketika.

"Pengaruh Dion Cools di atas padang juga mempengaruhi keseluruhan skuad yang ada dan memperlihatkan kematangan pemain dalam pasukan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan skuad negara tidak terlalu yakin walaupun bakal berdepan Taiwan yang berada di ranking yang kurang baik berbanding Harimau Malaya.

"Taiwan sememangnya tidak sebagus Kyrgyzstan, tetapi jangan terlalu yakin. Teruskan semangat dan mentaliti positif untuk mendapat tiga mata seterusnya," katanya.