Puas hati jual kek RM1 rasa premium

Iklan
Noraliza menunjukkan kek RM1 yang dijual di restoran.

KUANTAN - Niat mahu menggembirakan hati orang yang kurang berkemampuan membuatkan seorang peniaga menjual kek pada harga RM1 sepotong.

Keinginan untuk berkongsi rezeki mendorong pemilik kedai Raziq Cafe, Noraliza Kamaruddin, 42, untuk menjual pada harga mampu milik sekali gus menjadikan usaha itu sebagai satu amal jariah.

Iklan
Iklan

Ibu kepada lima anak it juga percaya rezeki akan digandakan dengan bersedekah meskipun mengetahui kos bagi membuat pemanis mulut semakin meningkat.

"Saya gembira dan puas hati kalau orang dapat membeli, merasa kek kerana bukan semua orang mampu membeli kek ini kerana mahal.

Iklan

"Tapi bila (harga) RM1, ada mampu beli terutamanya yang ada anak ramai, mereka boleh makan kek," katanya ketika ditemui di restoran di Seberang Balok di sini pada Sabtu.

13 jenis kek yang dijual setiap hari di restoran miliknya di Seberang Balok.

Menceritakan kembali usaha yang dilakukan, Noraliza memaklumkan rasa simpati timbul dalam dirinya apabila mengenangkan golongan kurang berkemampuan tidak dapat menikmati juadah.

Iklan

Isteri kepada Ady Jaelani Marli, 55, seterusnya melakukan kajian dengan menggunakan bahan yang dibeli pada harga murah untuk menghasilkan kek berkualiti tinggi dan menjualnya.

Jelasnya, walaupun menggunakan bahan-bahan murah, namun kualiti keknya setanding kek premium.

"Sejak saya menjual kek RM1, ramai dalam kalangan suri rumah yang datang membuat tempahan untuk menjual semula kek saya pada harga yang dikatakan masih boleh memberi keuntungan kepada mereka.

"Saya tetap jual kek RM1 sepotong dan RM36 sebiji. Saya tidak dapat jual murah dari itu.

"Tapi dengan harga itu juga pelanggan yang menjual semula kek saya masih memperoleh keuntungan.

"Saya lihat, usahaini dapat membantu bukan sahaja orang berkemampuan dapat membeli kek untuk meraikan hari jadi anak-anak mereka pada harga murah, malah membantu ekonomi terutamanya dalam kalangan suri rumah,” katanya yang gembira kerana usaha dilakukan mampu membuat peluang untuk insan lain menjana pendapatan.

Noraliza akui gembira melihat orang ramai dapat membeli kek pada harga murah.

Noraliza memberitahu sebanyak 13 jenis kek dihasilkan pada setiap hari dan pemanis mulut itu terjual antara 17 hingga 40 biji kek.

Dia yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan sejak lapan tahun lalu berkata, kek laris dijual antaranya kek keju, kek tiramisu, kek oreo, kek coklat dan kek red velvet.

"Sebiji kek ada 36 potong dan kebiasaannya pelanggan saya suka campur perisa.

"Kalau beli 10 potong pun sudah cukup untuk menggembirakan anak mereka di hari jadi mereka,” katanya.

Noraliza berkata, meskipun penjualan kek pda harga RM1 tidaklah memberikan keuntungan yang besar buatnya, namun dia berpuas hati dapat menggembirakan orang ramai dengan menikmati juadah tersebut.

"Saya tidak mampu memberikan sumbangan dari segi kewangan dan tenaga, jadi inilah cara saya menyumbang kepada masyarakat," katanya yang menyediakan menu lain seperti nasi ayam penyet, pecal, bakso, es teler dan lain-lain juadah berasaskan dari negara Indonesia.