PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon percaya aksi kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan di Stadium Perbandaran Taipei pada Selasa ini akan menjadi perlawanan sukar buat pasukannya.
Menurutnya, Harimau Malaya akan turun dengan momentum dan aksi terbaik untuk meraih satu lagi kemenangan selepas menewaskan Kyrgyzstan.
"Perlawanan di tempat lawan sememangnya berbeza dan sukar. pendekatan dan suasana akan berbeza dan banyak tekanan.
"Kami akan buat persiapan secukupnya. Jika kami tidak dapat tiga mata (lawan Taiwan) kami tidak akan dapat ke peringkat seterusnya. Kami perlu berjuang," katanya.
Dalam pada itu, Pan-gon mengingatkan pasukan negara supaya tidak mengulangi kesilapan terlalu yakin terutama seperti yang berlaku ketika perlawanan menentang Kyrgyzstan.
Beliau berkata, pemain perlu sentiasa merendah diri dan menghormati pasukan lawan selain perlawanan menentang Kyrgyzstan baru-baru ini menjadi pengajaran berguna kepada pasukan.
"Perasaan saya cukup kuat selepas perlawanan terakhir sebelum ini dengan Tajikistan (pada final Pestabola Merdeka) di mana kita mesti ada keyakinan, kita perlu berani dan kita perlu berusaha.
"Tapi kita tetap kena hormati dan sedar siapa diri kita di mana kita berada. Untuk perlawanan berikutnya juga kita perlu sentiasa merendah diri. Apabila kita merendah diri dan hormat pihak lawan, saya rasa kita ada peluang lebih baik," katanya.