Rakyat Terengganu tak rela 'pecah telur' - Idris

Iklan
Idris semasa berucap dalam Ceramah Perdana Unit Daerah Mengundi (UDM) Pekan Kijal pada malam Sabtu.

KEMAMAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman memberi makna yang besar buat rakyat walaupun ia tidak akan memberi kesan dan mengubah kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, di Terengganu misalnya, rakyat masih dengan 'mood' untuk mengekalkan rekod 40-0 iaitu menolak kepimpinan UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Iklan
Iklan

"Rakyat Terengganu tak rela untuk memecahkan telur. Jadi, kita kena pastikan 40-0 tetap kosong. Insya-ALLAH, dengan izinNya.

"Sebelum ini kita menang dengan majoriti lebih 27,000. Adat kata, letak botol mineral pun, insya-ALLAH boleh menang di Kemaman. Hari itu (PRU15) kita menang sewaktu pemimpin UMNO kata tak akan kerjasama dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP waktu itu.

Iklan

"Kemaman ni, teori politiknya mudah sahaja. Kalau menang Kemaman, menanglah Terengganu. Jadi, apabila UMNO jatuh di Kemaman, maknanya kita menang di peringkat negeri kerana ia dianggap sebagai kubu kuat UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Perdana Unit Daerah Mengundi (UDM) Pekan Kijal pada malam Sabtu.

Iklan

Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang dikuasai Perikatan Nasional sepenuhnya dengan penguasaan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen.

Beliau turut mendakwa, PRK kali ini menjadi satu-satunya pilihan raya yang tidak diboikot jentera UMNO kerana tidak ramai berminat untuk bertanding.

Jelasnya, mereka sedar bertanding kali ini ibarat bersedia untuk kalah.

"Sebab itu yang dilantik menjadi calon bukan ahli politik tapi sebaliknya bekas tentera.

"Keduanya, konon mereka nak tarik sokongan orang Melayu bagi menunjukkan UMNO, PKR, Amanah dan DAP masih mengutamakan orang Melayu dengan melantik bekas pegawai tertinggi ATM.

"Pada kami, lantik lah siapa pun. Pengundi di Kemaman sudah tahu menilai untuk memastikan 2 Disember nanti, mereka akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.