IPT, hospital universiti jangan taasub kejar ranking - KPT

Iklan
Mohamed Khaled (kanan) dan barisan kenamaam melawat ke gerai pameran di Hospital USM.

KOTA BHARU - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggesa kesemua institut pengajian tinggi (IPT) dan hospital universiti di negara ini supaya tidak terlalu taksub mengejar ranking atau penarafan kedudukan terbaik antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ukuran secara umum tidak boleh dibuat ke atas semua universiti kerana setiap institusi itu diwujudkan atas matlamat yang berbeza-beza.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penulisan mengenai ranking sudah banyak dihasilkan oleh badan-badan antarabangsa termasuk United Nation yang menyatakan kebimbangan terhadap perkara itu.

"Jadi, ranking hanya untuk melihat kedudukan tetapi bukan asas sesebuah universiti itu cemerlang, baik ataupun tidak,” katanya selepas merasmikan Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)(1983-2023) di Kubang Kerian di sini, pada Ahad.

Iklan
Mohamed Khaled (tiga dari kiri) yang merasmikan Sambutan 40 Tahun Hospital USM.

Turut hadir, Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman.

Mohamed Khaled juga berkata, semua sektor pendidikan tinggi di negara ini mesti bergerak sebagai satu ketumbukan yang kuat dan saling menyokong.

Iklan

Ujar beliau, kesibukan mengejar ranking akan mengekang perkongsian segala ilmu, sumber, kepakaran dan penemuan baharu secara strategik serta berkesan.

"Bersaing secara sihat dan produktif harus menjadi budaya melalui gabungan kekuatan menjadi bersepadu dalam sektor pendidikan tinggi.

"Misalnya, dalam konteks bidang perubatan, kita tidak mahu lagi membeza-bezakan antara satu hospital universiti dengan hospital universiti yang lain sebaliknya, semua pusat perubatan dan hospital ialah aset bersama sektor pendidikan tinggi negara,” kata Mohamed Khaled.