JAGUH bina badan negara, Sazali Abdul Samad belum berhasrat untuk bersara dan menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan sebaliknya ingin terus bergiat aktif sebagai atlet bina badan.
Anak jati kelahiran Batu Pahat berusia 56 tahun itu menegaskan buat masa ini beliau sedang mempersiapkan diri selain bercadang menyertai mana-mana kejohanan sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa.
"Belum sampai masa dan terfikir untuk bersara dan jadi jurulatih sepenuh masa. Pada ketika ini, saya sedang mempersiapkan diri dari aspek pemakanan terutama diet untuk memastikan kualiti badan berada pada tahap terbaik.
"Ini kerana saya bercadang untuk menyertai beberapa kejohanan tahun depan yang dilihat bersesuaian dan mampu untuk terus mengumpul koleksi kejuaraan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Karnival Fit Mania Perak 2023 anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Perak dan Persatuan Kebajikan Kecergasan Komuniti Perak (PKKP) di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Sazali yang juga merupakan Mr Universe sebanyak 10 kali itu telah digantung selama empat tahun bermula 22 Sept 2015 hingga 22 Sept 2019 oleh Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) selepas gagal ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September 2015.
Lebih memburukkan situasi, beliau yang telah membuat rayuan kepada MBBF dikenakan hukuman tambahan penggantungan empat tahun gara-gara tindakannya menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai pada penghujung Mei 2018.
Sazali berkata faktor umur bukan penghalang untuk terus mengecap kejayaan meskipun mengakui berdepan saingan sengit terutama daripada atlet muda yang menceburi sukan ini.
"Walaupun sudah meningkat usia, kalau kita terus berusaha tiada yang mustahil dan cabaran daripada atlet muda ini saya jadikan penanda aras untuk terus kekal fokus serta berdaya saing,” katanya.
Selain itu, beliau berkata secara peribadi beliau turut mengharapkan anaknya Muhd Hazim, 22, akan terus menyambung legasinya dalam sukan bina badan sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
"Saya sendiri sudah kecapi pelbagai kejayaan dan kembali aktif dalam sukan ini pun semata-mata untuk penjagaan diri dan mengumpul koleksi kejuaraan. Jadi, saya harap anak saya akan meneruskan kejayaan ini dan buktikan bahawa beliau mampu pergi lebih jauh,” katanya. - Bernama