KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu bermula hari ini hingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan ia melibatkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Iklan
Iklan
Kenyataan itu turut memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Kelantan melibatkan kawasan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh manakala di Terengganu membabitkan Hulu Terengganu serta kawasan Jerantut dan Kuantan di Pahang.
Hujan berterusan tahap waspada juga dijangka di Kedah yang melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling; Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar) serta seluruh Perlis.
"Kawasan terlibat di Kelantan pula ialah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Pahang (Maran, Pekan dan Rompin), Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan),” menurut kenyataan itu. - Bernama