KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyeru umat Islam menyegerakan bayaran zakat sebelum 31 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, mereka yang membayar zakat bermula 18 November hingga hujung tahun ini berpeluang menikmati rebat cukai pendapatan selain menikmati pelbagai tawaran hadiah menarik sempena Kempen Year End Zakat (YEZ) 2023.
Menurutnya, sebagai galakan dan penghargaan, pelbagai pengisian disediakan kepada para pembayar zakat antaranya tawaran 1,000 hadiah menarik seperti pakej umrah, telefon pintar dan peralatan dapur Thermomix sepanjang tempoh kempen.
"Sebaliknya, kekayaan sebenar adalah terletak di dalam hati, apabila kita memberi dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan," katanya pada pelancaran Kempen YEZ 2023 di Taman Metropolitan, Kepong, di sini pada Sabtu.
Majlis pelancaran itu turut diadakan program Fit Zakat 2023 yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat sambil memberikan kesedaran berzakat kepada masyarakat menerusi Kempen YEZ.
Dalam pada itu, Abdul Hakim memberitahu bahawa PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion tahun ini dengan sejumlah RM688.7 juta telah berjaya dikutip sehingga Ogos lalu.
"Insya-ALLAH dalam tempoh dua bulan lagi, PPZ-MAIWP memerlukan RM312 juta lagi bagi mencapai sasaran tersebut.
"Angka ini tidak mudah dicapai, ia memerlukan usaha keras dan berterusan serta sokongan daripada masyarakat Islam yang layak berzakat untuk tampil menunaikan kewajipan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai penyaluran zakat, beliau memaklumkan ketika ini bilangan penerima yang dibantu secara bulanan mencecah lebih 30,200 ketua keluarga.
Jumlah itu katanya dijangka akan meningkat kepada 37,000 ketua keluarga pada tahun 2024.
Sepanjang bulan Disember, 10 kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4.45 petang pada setiap hari termasuk pada hari cuti umum. Bagi minggu terakhir Disember ini, kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka sehingga jam 9 malam.
Selain itu, para pembayar zakat juga boleh menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan menggunakan kemudahan pembayaran dalam talian menerusi portal zakat.com.my, aplikasi MyZakat, perbankan internet serta ejen rasmi yang dilantik PPZ-MAIWP.