KOTA BHARU - Pas mendakwa mungkin terdapat unsur rasuah dalam Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang menggunakan peruntukan sebagai tekanan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Justeru, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Iklan
Iklan
Menurut beliau Ahli Parlimen hanya mendapat peruntukan selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin Peringkat Kelantan di sini pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kecik (PN) menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM300,000 selepas seminggu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tuan Ibrahim juga kecewa kerana kerajaan Pusat menggunakan peruntukan sebagai tekanan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Kerajaan sepatutnya menyediakan peruntukan yang sama kepada setiap ahli Parlimen," katanya.