PRK Kemaman: Anak muda mahu bandar Chukai 'hidup'

Iklan
Anak muda harap bandar Chukai akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan. Gambar kecil, dari kiri; Mohd Fuad, Nurul Faizah, Nurul Yatimah dan Siti Nur Ahlam.

KEMAMAN - Golongan muda di Kemaman berharap supaya terdapat sebuah pusat membeli-belah yang lebih selesa untuk membeli barangan keperluan.

Buat masa ini, kebanyakan mereka terpaksa mengambil masa satu hingga dua jam untuk ke Kuantan, Pahang atau Kuala Terengganu sebagai alternatif mendapatkan keperluan pelbagai barangan susulan ketiadaan pasar raya besar di bandar Chukai.

Iklan
Iklan

Menurut peniaga, Nurul Yatimah Zulkifli, 30, dia terpaksa memperuntukkan antara RM200 sebulan untuk perbelanjaan pengangkutan ke Kuantan bagi membeli barangan keperluan yang tidak dapat diperoleh di sini.

"Dalam masa sebulan, dua tiga kali saya kena pergi ke Kuantan dengan menempuh perjalanan selama satu jam untuk mendapatkan barangan yang tidak dijual di Kemaman.

Iklan

"Kena keluarkan belanja lebih untuk pergi ke Kuantan. Jadi kami (anak muda) mahukan pusat membeli-belah yang besar di sini dan tidak perlu lagi kena keluar dari bandar Chukai semata-mata membeli pelbagai barangan keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Chukai, dekat sini pada Ahad.

Iklan

Berkongsi pandangan sama, Nurul Faizah Mohamad, 33, berkata, terdapat sebuah pusat membeli-belah di bandar Chukai, namun premis bangunan itu lenggang selain tidak mempunyai banyak pilihan untuk membeli barangan.

"Keadaan pusat membeli-belah yang tidak begitu meriah dan agak sepi menyebabkan ramai anak muda terpaksa pergi ke negeri lain untuk beli barangan sebagai contoh pakaian pelbagai jenama dan gajet.

"Jadi kita harap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat membangunkan sebuah premis perniagaan yang lebih selesa kerana Kemaman ini merupakan sebuah daerah yang strategik berikutan berhampiran dengan negeri Pahang," katanya.

Sementara itu, pelajar kolej, Siti Nur Ahlam Hakiemah Mohd Fauzi, 20, berkata, dia berharap supaya terdapat sebuah pusat hiburan keluarga seperti arked permainan dan hiburan permainan diwujudkan di bandar Chukai.

"Kalau boleh bandar ini dihidupkan dengan adanya pusat hiburan keluarga yang membolehkan orang ramai berpeluang meluangkan masa bersama keluarga dan kenalan pada hujung minggu," katanya.

Mohd Fuad Abdul Rahman, 23, pula berkata, pembangunan industri seperti pusat perniagaan yang luas dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terhadap golongan muda.

"Ramai yang merantau ke tempat lain untuk bekerja. Jadi sekiranya ada pusat perniagaan baharu diwujudkan di sini sudah tentu anak tempatan di sini berpeluang bekerja di kawasan sendiri," jelasnya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.