Hari pertama kempen PRK Kemaman berjalan lancar - Polis

Iklan
Gambar hiasan

KEMAMAN - Tiada sebarang tangkapan atau kesalahan pilihan raya dilaporkan pada hari pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman berlangsung pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, setakat ini terdapat dua ceramah diadakan melibatkan Perikatan Nasional (PN) manakala tiada sebarang ceramah dianjurkan oleh pihak Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

"Dua ceramah PN dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan DUN Chukai mempunyai permit, melibatkan kehadiran seramai 120 orang.

"Program di DUN Kijal membabitkan tiga penceramah, antaranya Datuk Idris Ahmad dan Datuk Ahmad Amzad Hashim manakala di Chukai seramai tiga penceramah termasuk Hanafiah Mat dan Dr Riduan Mohamad Nor," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Iklan

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.