ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bercadang mengkomersialkan produk inovasi dikenali sebagai Sistem Pemintas Frekuensi Audio (AFIS) yang dihasilkan Pasukan Alor Setar Troopers.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, Pasukan Alor Setar Troopers menghasilkan produk inovasi yang amat membantu bomba sekali gus menerima Anugerah Utama, Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023.
Beliau berkata, produk dihasilkan enam pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) itu boleh memintas frekuensi radio kenderaan yang berada di depan bagi memaklumkan kehadiran jentera bomba, ambulans atau kereta peronda polis lebih awal.
"Atas kriteria ini, mereka telah menerima anugerah tertinggi iaitu Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam yang membawa nilai hadiah RM1 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Bomba dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun 2022 di Dewan Muhammad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah JBPM Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang.
Menurutnya, pasukan terbabit juga berjaya menerima hadiah kategori keselamatan dan pentadbiran inovasi sektor awam dengan dengan nilai hadiah RM200,000 sekali gus menjadikan hadiah keseluruhan berjumlah RM1.2 juta.
Abdul Wahab berkata, beliau berbangga dengan kejayaan JBPM yang berjaya melakar sejarah dan mendapat perhatian pelbagai pihak melalui produk inovasi terbabit.
"Sudah semestinya di peringkat jabatan dan kerajaan akan komersialkan projek ini kerana kosnya tidak tinggi tetapi kesannya amat menyeluruh," ujarnya.
Tambahnya, AFIS juga boleh memberi arahan secara langsung kepada pengguna kenderaan lain untuk memberi laluan kepada jentera bomba, selain meminta mereka berhenti atau bergerak ke laluan lain.
Dalam pada itu, Abdul Wahab berpandangan, produk inovasi itu juga boleh digunakan untuk tujuan pengosongan bangunan sekiranya bangunan itu terlibat dengan kebakaran dengan mengsetkan frekuensi radio kenderaan.
Beliau turut mendapati AFIS juga boleh digunakan secara meluas untuk pelbagai tujuan lain termasuklah penyaluran mesej daripada jabatan tertentu kepada rakyat.
"Jadi, saya percaya dan amat yakin projek ini boleh dikomersialkan dan juga dapat perhatian daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) sendiri untuk membantu proses komersialkan," katanya.
Beliau memberitahu, produk ciptaan Pasukan Alor Setar Troopers telah dipatenkan sekali gus perlu dikomersialkan segera.
Kongsi beliau lagi, JBPM mempunyai beberapa produk inovasi lain termasuklah alat pengesan gas LTG
"Insya-ALLAH, projek-projek berpotensi ini jabatan bomba memang memberi keutamaan (untuk) ia boleh dikomersialkan," katanya.