PONTIAN - Jualan Rahmah perlu diadakan setiap minggu dengan diperluaskan di kawasan pedalaman bagi menangani isu kekurangan barangan keperluan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, masyarakat luar bandar menunggu Jualan Rahmah diadakan di kawasan mereka dan bukannya diadakan di kawasan pekan atau bandar sahaja.
Jelasnya, langkah tersebut memudahkan penduduk mendapatkan barang keperluan dengan lebih mudah tanpa perlu ke pekan atau bandar selain harganya juga lebih rendah.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah buat keputusan supaya Jualan Rahmah diperluaskan di peringkat DUN. Pelaksanaan Jualan Rahmah juga perlu diadakan di kawasan pedalaman, kita boleh gunakan kemudahan dewan terbuka atau balai raya bagi menjayakan inisiatif ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan barang keperluan di sekitar Pontian, pada Ahad.
Program Jualan Rahmah dilaporkan mula diperkenalkan KPDN bermula Januari lalu, dengan sejumlah 1,133 lokasi telah terbabit di seluruh negara ketika itu.
Perdana Menteri kemudian melancarkan Program Jualan Rahmah Bergerak buat pertama kalinya pada 16 Jun lalu dan dilaporkan telah berjaya dilaksanakan di 396 lokasi di seluruh negara.
Dalam Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan RM200 juta untuk meneruskan Payung Rahmah sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menerusi tinjauan dilakukannya di lokasi di daerah ini mendapati bekalan beras putih tempatan (BPT), gula dan minyak masak bersubsidi perlu ditambah bagi menjadi pilihan pengguna.
"Apa yang saya perhatikan BPT perlu ditambah, bukan tiada tetapi perlu ditambah lagi.
"Begitu juga gula ada sedikit dan minyak masak bersubsidi juga sedikit. Ia tidak terputus terus, namun perlu ditambah lagi kuantitinya di pasaran bagi keselesaan rakyat," katanya.