BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin unggul apabila berjaya menjuarai kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2023 Petronas di Arena Badminton Perak, Ipoh pada Ahad.
Pang Ron-Su Yin menewaskan regu dari Chinese Taipei, Lin Yu Chieh dan Hsu Yin-Hui dengan straight set dalam masa 36 minit.
Set pertama menyaksikan beregu negara menang 21-17 sebelum menamatkan saingan dengan keputusan 21-17.
Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif-Wong Vin Sean terpaksa akur dengan kehebatan regu dari Jepun Takuto Inoue-Masayuki Onodera yang menjuarai kategori beregu lelaki dalam kejohanan berkenaan.
Laluan mudah tidak diberikan atlet negara apabila mereka terpaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan sebelum memenangi perlawanan.
Set pertama memihak kepada Jepun dengan 21-16 sebelum Malaysia bangkit dengan kemenangan 21-18, namun regu negara tidak dapat mencipta kejutan apabila tewas di set ketiga.
Sementara itu, beregu wanita negara, Ng Qi Xuan dan Yap Yee pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas dalam perlawanan straight set di tangan regu Chinese Taipei, Lin Chih-Chun dan Sung Yu-Hsuan.
Pada set pertama, mereka tewas 21-11 dalam tempoh 15 minit manakala set kedua pula terpaksa akur dengan keputusan 21-18.
Bagi perseorangan lelaki akhir menyaksikan dua jaguh dari Jepun, Kawamoto Takuma dan Minoru Koga berentap sehingga ke set penentuan.
Koga mendahului pada set pertama dengan 21-17 sebelum Kawamoto memenangi set kedua dengan 21-11, namun Koga dinobat juara dalam masa 60 minit selepas memenangi set penentuan 21-11.
Sementara itu, seorang lagi atlet Jepun, Miho Kayama berjaya menjuarai kategori perseorangan wanita apabila menewaskan pemain negara, Wong Ling Ching dengan straight set berturut-turut 23-21 dan 21-16.