PARIS - Sebuah topi milik Napoleon Bonaparte dijual pada lelongan di Perancis pada harga €1.93 juta (AS$2.1 juta), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Rumah lelong Osenat di Fontainebleau dekat Paris berkata ia adalah rekod dunia untuk topi yang dipakai oleh Napoleon semasa memerintah empayar Perancis pada abad ke-19.
Topi berwarna hitam berkenaan dianggarkan bernilai antara €600,000 dan €800,000.
Sehelai rambut maharaja dan sapu tangan antara barangan lain yang dijual oleh seorang pengumpul.
Barangan lain yang ditawarkan termasuk sarung tangan dan sehelai baju yang dikatakan pernah dipakai Napoleon semasa hidup dalam buangan di pulau Saint Helena.
Dilahirkan di Corsica, Napoleon meninggal dunia pada tahun 1821 pada usia 51 tahun di pulau berkenaan. - Bernama