[VIDEO] Guru madrasah mengaku tidak bersalah cederakan murid

Iklan

SIK - Seorang guru madrasah mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling di sini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anak muridnya dua minggu lalu.

Tertuduh, Amirul Hakim Johari, 27, membuat pengakuan tidak bersalah itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Najwa Che Mat pada Isnin.

Iklan
Iklan

Tertuduh (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling pada Isnin atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anak muridnya dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak lelaki itu dipertanggungjawabkan menjaga mangsa yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, telah mengabaikan iaitu menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Iklan

Tertuduh yang bertugas di madrasah yang terletak di Kampung Durian Burung itu didakwa melakukan perbuatan itu pada 11 November lalu.

Oleh demikian tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah seksyen yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam, Al-Sabri Ahmad Kabri.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 selain beberapa syarat tambahan antaranya melapor diri ke balai polis terdekat sebulan sekali, tidak mengganggu mangsa, ahli keluarga dan saksi pendakwaan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Al-Sabri kemudian merayu agar mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan tertuduh bersedia mematuhi arahan hadir ke mahkamah setiap kali bicara selain isteri bakal bersalin anak kedua minggu depan.

Hakim Najwa kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan agar semua syarat tambahan dipatuhi.

Kes akan disebut semula pada 21 Januari 2024.