SHAH ALAM - Kuala Lumpur, Malaysia menduduki tangga kelapan daripada 20 bandar terbaik dunia untuk didiami ekspatriat dan individu bekerja di negara asing bagi 2023.
Kedudukan Malaysia itu di belakang bandar Mexico, Madrid di Sepanyol dan dua kawasan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Abu Dhabi serta Ras al-Khaimah.
Tiga bandar terbaik pula adalah di Sepanyol iaitu Malaga yang menduduki tempat pertama menjadikannya sesuai untuk menetap dan bekerja, diikuti Alicante serta Valencia.
Menurut laman sesawang Forbes, sebuah organisasi komuniti global, InterNations mengeluarkan laporan tahunan mengenai bandar yang terbaik untuk dihuni golongan ekspatriat dengan mengambil kira faktor kualiti hidup, kemudahan menetap, kewangan peribadi dan sebagainya.
Tambahnya, InterNations melibatkan 49 negara secara keseluruhan dengan meninjau lebih daripada 12,000 responden yang mewakili 177 kewarganegaraan dan menetap di 181 wilayah di seluruh dunia.
"Berada di kedudukan terendah pula adalah Milan, Itali di tangga ke-49 menjadikannya bandar terburuk di dunia untuk hidup.
"Rom di tempat ke-48, manakala Vancouver, Kanada di tangga ke-47,” katanya pada Ahad.
Malaysia berada di kedudukan selesa disusuli Bangkok, Thailand di tangga kesembilan selain Muscat di Oman serta Dubai di UAE masing-masing di tempat ke-10 dan ke-11.