'Lihat isu Palestin dari sudut sejarah, kemanusiaan'

Iklan
Teh Lai Heng

GEORGE TOWN - Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama perlu melihat isu peperangan di Palestin dari segi sejarah dan kemanusiaan.

Teh Lai Heng (DAP-Komtar) berkata, setiap rakyat juga diharap tidak menjadikan isu Palestin sebagai isu yang membezakan sikap terhadap erti kemerdekaan.

Iklan
Iklan

"Saya sangat memahami bahawa isu terkait Palestin sangat dekat di hati umat Islam.

"Saya berharap kita semua tidak melihat situasi getir menimpa rakyat negara itu sebagai isu agama semata-mata, sebaliknya ia lebih daripada itu.

"Kita semua harus mengimbau dan mengamati semula proses mengecapi kemerdekaan negara termasuk kesusahan rakyat ketika zaman penjajahan Inggeris dahulu," katanya pada Isnin.

Lai Heng berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ketika perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) ke-15 di sini.

Iklan

Beliau turut mendoakan agar konflik dan serangan tersebut akan segera berakhir.

"Mari lah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat rakyat Palestin yang sedang berjuang ketika ini," katanya.

Iklan

Tambahnya, semua pihak harus mengimbau dan mengamati semula proses mengecapi kemerdekaan negara termasuk kesusahan rakyat ketika zaman penjajahan Inggeris dahulu.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Fuzi menggesa semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera.

Ahmad Fuzi turut mengecam tindakan ganas tentera Israel yang membunuh dan melakukan kezaliman ke atas rakyat Palestin.

Beliau turut menggesa rakyat negara ini yang berperanan sebagai ahli komuniti global yang bertanggungjawab dan prihatin, semua pihak perlu berusaha untuk membantu keperitan yang dilalui oleh mangsa di negara terbabit.