KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menerima 115 laporan dengan kerugian RM118.6 juta membabitkan pelaburan I-Serve yang dikaitkan dengan pengasas bersama syarikat penerbangan MYAirline.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes tersebut.
Iklan
Iklan
"Seramai 10 orang ditahan setakat ini membabitkan kes tersebut. Kes masih dalam siasatan, ini semua berkenaan penjejakan wang, akaun dan banyak forensik kewangan untuk dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JSJK, di sini, pada Isnin.
Penahanan itu menjadikan tangkapan keseluruhan seramai 10 orang termasuk pengasas bersama syarikat MYAirline, pemegang saham, peguam dan beberapa kakitangan I-Serve.
Ramli dilaporkan berkata, setakat ini, pihaknya telah merampas 12 buah kenderaan dari dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu CPU dan 10 barang kemas.
Siasatan terhadap I-serve dan rangkaian syarikat di bawahnya bermula pada 17 Oktober lalu apabila pengasas bersama syarikat penerbangan tambang murah bergelar Datuk ditahan bersama isteri dan anaknya di kediaman mereka di Shah Alam, Selangor.
Kes disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.