'MB Terengganu tamak' - Ahmad Said

Iklan
Datuk Seri Ahmad Said.

KEMAMAN - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar disifatkan sebagai tamak apabila mengambil keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, komitmen sebagai menteri besar amat berat dan sukar untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu memberikan tumpuan sebagai ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

"Saya pernah menjadi menteri besar selama enam tahun, tahu bagaimana sibuknya.

"Apatah lagi ahli Parlimen. Sama ada you (awak) tinggalkan negeri atau tinggalkan Parlimen.

Iklan

"Beri peluang kepada orang lain untuk berkhidmat. Takkan nak kawal semua," katanya ketika ditemui semasa program Sembang Santai Bersama Veteran ATM di Kelab Golf dan Rekreasi Petronas, Kertih pada Isnin.

Sementara itu, ditanya tentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ahmad berkata, rakyat Kemaman perlu memberi peluang kepada bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Iklan

"Parti memilih beliau dan buat pertama kalinya di negara ini, pemimpin Top 5 Malaysia diberi ruang untuk bertanding.

"Raja Mohamed Affandi menyahut cabaran itu. Saya minta bagi peluang satu kerusi untuk BN.

"Sekarang ini kesemua kerusi Parlimen milik Pas, apa yang rakyat dapat? Tak ada peruntukan, tiada komitmen. Apa lagi Menteri Besar?" soalnya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan Pas.

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi sebagai calon, manakala Pas yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diwakili Ahmad Samsuri.