KUALA LUMPUR - Suri rumah dan golongan individu berusia 31 hingga 40 tahun dikesan seringkali menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia berdasarkan 1,099 kes direkodkan sepanjang tahun melibatkan individu dari golongan umur berkenaan dan 762 aduan membabitkan suri rumah.
"Secara purata sebanyak 15 kes pelaburan tidak wujud disiasat setiap hari membabitkan 4,435 kertas siasatan dan kerugian mencecah RM 364 juta bagi tempoh Januari hingga semalam (Ahad).
"Nilai kerugian merangkumi 20 peratus daripada nilai keseluruhan kes-kes jenayah komersial yang direkodkan pada tahun ini (RM1.82 bilion)," katanya pada sidang media di pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, pada Isnin.
Ramli berkata, pekerja swasta merekodkan jumlah tertinggi menjadi mangsa iaitu 1,880 kes, suri rumah (762), pesara (514), bekerja sendiri (390), penganggur (592) dan penjawat awam (298).
"Sebanyak 4,051 kes penipuan adalah secara dalam talian manakala 384 secara bersemuka dan daripada jumlah keseluruhan kes pelaburan tidak wujud itu sebanyak 540 atau 12 peratus daripadanya berjaya dituduh di mahkamah," katanya.
Beliau berkata, masyarakat masih terpedaya serta sanggup mengeluarkan wang simpanan, membuat pinjaman bank dan sebagainya untuk melabur.
"Aspek kesedaran berkenaan sindiket penipuan itu penting, kalau nampak dalam tempoh enam jam boleh dapat puluhan ribu (tetapi masih melabur) ini didorong sifat tamak,” katanya.