Imigresen Melaka jangka PATI mohon B4G meningkat

Iklan
Disebabkan tiada tempat khas, pendatang asing yang memohon program B4G terpaksa duduk di kaki lima bangunan KDN di Ayer Keroh. (Gambar kecil: Vishnutharan)

MELAKA TENGAH - Jabatan Imigresen Melaka menjangkakan permohonan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyertai program 'Back For Good' (B4G) akan terus meningkat hingga akhir bulan ini.

Timbalan Pengarahnya, K Vishnutharan berkata, dalam tempoh 20 hari pada bulan ini sahaja, lebih 3,400 permohonan PATI dari pelbagai negara telah direkodkan dan peningkatan itu dilihat ketara sepanjang tempoh dua minggu pertama Disember ini berbanding Ogos hingga Oktober lalu yang merekodkan kira-kira 1,400 permohonan dalam tempoh sebulan.

Iklan
Iklan

"Kita berusaha melakukan yang terbaik termasuk mengutamakan permohonan kanak-kanak serta ibu mengandung dengan lebih 20 kakitangan turut dikerah bagi memastikan kelancaran pendaftaran permohonan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh hari ini.

Berhubung dakwaan jabatan itu kurang menjaga kebajikan PATI sehingga didakwa terpaksa bermalam lebih tiga hari di Kompleks KDN di Ayer Keroh itu, beliau menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai tempat khas untuk mereka yang terlibat.

Iklan

"Sebagai sesama manusia, kita juga mempunyai nilai kemanusiaan dan kita berikan kebenaran kepada mereka untuk berehat dan ada juga tidur di kawasan bangunan KDN ini dan kita sebenarnya tiada tempat khas untuk mereka, malah bangunan ini juga terdapat agensi dan jabatan kerajaan lain.

"Tiada pun arahan yang kita keluarkan untuk menghalau ataupun menghalang mereka berada di kawasan ini biarpun setiap hari jumlah yang datang semakin ramai," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga memperkenalkan sistem nombor giliran bagi membolehkan mereka yang datang seawal pagi dapat memproses segala dokumentasi lebih awal termasuk tiket penerbangan dan menyifatkan kaedah itu lebih adil, sekali gus mengelak insiden tidak diingini berlaku seperti berebut dan tolak-menolak.

Katanya, setiap hari pihaknya menerima lebih 250 permohonan dan bilangan tersebut dijangka meningkat sebelum program yang bermula pada Ogos lalu itu berakhir pada 31 bulan Disember ini.

"Kita juga berterima kasih dengan sokongan yang diberikan kerajaan dan turut mendapat kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi membantu kelancaran program itu," katanya.

Kelihatan pendatang asing berehat di bangunan KDN Ayer Keroh Melaka sementara menunggu giliran permohonan program B4G. (Agus menunjukkan tangannya yang ditanda sebelum menerima nombor giliran bagi memproses permohonan itu.)

Katanya, walaupun menerima lambakan PATI termasuk dari luar negeri ini, pihaknya tidak pernah menolak permohonan mereka yang telah lengkap bagi membantu mereka pulang ke negara asal.

"Saya bangga warga Jabatan Imigresen Negeri ini telah melakukan yang terbaik dan memberi komitmen tinggi termasuk cuti dibekukan agar program ini benar-benar berjaya dan lebih ramai dapat dibantu dan pulang," katanya.

Sementara itu, seorang PATI, Agus, 46, yang ditemui bersyukur akhirnya penantiannya beberapa hari berada di kompleks KDN itu berakhir dengan kegembiraan setelah borang permohonannya diterima, sambil memberitahu tidak sabar pulang ke kampung halamannya di Surabaya, Indonesia.

"Yang penting bersabar, memang sulit terpaksa menunggu tapi saya tiada penempatan lain atau rakan di Melaka, jadi saya memilih untuk tinggal di kawasan bangunan ini sejak beberapa hari lalu kerana saya datang dari Klang Lama, Selangor.

"Memanglah rasa tidak selesa kerana tiada pakaian lain yang saya bawa hingga wang juga kehabisan, namun permohonan diterima itu yang paling saya terharu dan berterima kasih dapat pulang bertemu keluarga," katanya.

Bagi Samsul Hadi, 28, berkata, walaupun perit menunggu, namun dia terus berdoa agar tiket penerbangan tidak luput dan sempat digunakan lagi.

Menurutnya, dia yang masuk ke negara ini melalui ejen memberitahu tidak tahu tentang pasport, visa dan sebagainya turut menyifatkan program tersebut membantunya pulang ke tanah air.

"Walaupun dugaan berat menunggu, sekurangnya saya tidak ditipu ejen lagi dan mahu segera pulang dan mulakan hidup baharu di kampung saya," katanya.

Difahamkan, ada di antara PATI menggunakan perkhidmatan ejen untuk menghantar mereka ke kompleks itu termasuk menggunakan perkhidmatan bas pada malam hari hingga berlaku lambakan PATI di kompleks tersebut.