KEMAMAN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dikenali sebagai seorang yang sangat fokus kepada perkhidmatan.
Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral (B) Tan Sri Zulkiple Kassim yang memang kenal dengan Raja Mohamed Affandi hampir 40 tahun berkata, personaliti yang ditampilkan beliau bukanlah sesuatu yang dibuat-buat, sebaliknya ia memang watak sebenar bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) itu.
"Saya memang mengenali beliau secara mendalam. Kalau kita lihat ucapan dia tadi, itulah dia. Dia adalah seorang yang terlalu fokus kepada perkhidmatan.
"Dalam tentera dulu pun dia memang fokus dengan tanggungjawab apa yang perlu dibuat,” katanya ketika ditemui Bernama selepas sesi perjumpaan Raja Mohamed Affandi bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, pada Isnin.
Ini adalah hari ketiga kempen PRK itu yang menyaksikan bekas Panglima Angkatan Tentera itu berdepan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas pada PRK berkenaan dalam pertandingan satu lawan satu.
Zulkiple percaya Mohamed Affandi benar-benar ikhlas untuk berbakti kepada warga Kemaman dan PRK ini adalah peluang yang baik baginya untuk merealisasikan hasrat itu.
"Saya lihat pendirian dia ini lebih sebagai seorang individu yang ingin menabur jasa. Jadi dia melihat peluang untuk menjadi Ahli Parlimen ini satu ruang untuk dia meneruskan aspirasi dia untuk menabur jasa kepada kawasan Kemaman.
"Dia membesar di Kemaman, jadi saya fikir dalam pemikiran dia inilah tempat yang paling baik untuk dia mulakan jasa dia kepada rakyat,” katanya.
Zulkiple dilantik sebagai PTD ke-26 pada tahun 2016 bagi menggantikan Mohamed Affandi yang dilantik sebagai PAT ke-19.
Sementara itu, bekas Panglima Dua Divisyen Mej Jeneral (B) Datuk Mohd Ramli Jaafar yang mengenali Mohamed Affandi sejak 1981 berkata, walaupun nampak seperti seorang yang berperwatakan garang, namun beliau adalah seorang yang mudah didekati dan penyabar orangnya.
Mohd Ramli berkata, antara perkara yang paling diingati sepanjang bekerja di bawah Mohamed Affandi adalah bagaimana beliau telah menggerakkan asset-aset tentera darat bagi membantu banjir besar yang melanda daerah Kemaman pada tahun 2013.
"Ketika banjir besar berlaku pada tahun 2013 itu, beliau telah mencipta satu mekanisme untuk membolehkan mangsa banjir ni, apabila terperangkap sahaja, kita bawa ke pusat perlindungan, semua kemudahan tersedia termasuk makanan,” katanya.
Beliau berkata, dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, pastinya Mohamed Affandi akan dapat membantu menyumbang kepada pembangunan Terengganu sekiranya diberikan mandat pada PRK nanti.
"Sekiranya beliau dipilih pastinya Kemaman ini akan menjadi hub dan laluan masuk untuk pembangunan-pembangunan di seluruh Terengganu sebab beliau mempunyai kotak pemikiran yang luar biasa,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, Mohamed Affandi meluangkan masa selama hampir dua jam menyantuni veteran-veteran ATM yang terdiri daripada pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Kemaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. - Bernama