AKTOR Esma Daniel mendedahkan dia telah mendapat serangan angin ahmar atau strok pada 10 November lalu.
Menurut Esma atau nama sebenarnya Esma Daniel Md Isa, 55, kejadian berlaku sebaik sahaja dia selesai menikmati makan malam bersama isteri, Nur Atira Mazlan, 31.
Katanya, bahagian kiri tubuhnya mula tidak dapat berfungsi dengan baik, apabila tidak dapat mengangkat gelas minuman dan kaki mula lemah sehingga hampir jatuh.
"Sebaik selesai larian rutin, saya menikmati makan malam bersama isteri. Tiba-tiba saya merasakan tangan kiri tidak dapat mengangkat gelas minuman dan isteri saya mendapati muka saya agak herot.
Tambah Esma, dia bagaimanapun membuat kesilapan tidak segera ke hospital biarpun diminta berbuat demikian oleh isterinya.
Sebaliknya, bintang Juang itu mengambil pendekatan untuk berehat di rumah dan hanya ke klinik keesokkannya.
"Selepas mendapati tekanan darah tinggi mendadak naik lalu cuba baring dengan kedudukan kaki dinaikkan.
"Cuba tenangkan diri dan perlahan-lahan tekanan darah turun sedikit.
"Keesokannya saya telah ditahan di wad kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
"Doktor bertugas ketika itu agak menyesali tindakan saya lambat ke hospital," jelasnya.
Menurut Esma, sekiranya angin ahmar dirawat dalam tempoh segera, pihak hospital boleh melakukan teknik trombektomi endovaskular iaitu teknik rawatan terkini bagi mengeluarkan darah beku yang menyumbat salur darah besar di otak dan menyebabkan angin ahmar atau strok.
"Prosedur ini lazimnya dilakukan dalam lingkungan masa 24 jam selepas serangan strok.
"Namun begitu doktor berpendapat saya harus diberi peluang menerima rawatan itu memandangkan saya aktif bersukan.
"Ia memberi kemungkinan otak dan organ badan saya masih berfungsi dengan baik walaupun selepas 24 jam serangan strok," katanya.
Dia berkata, hasil CT scan mendapati lebih kurang 3mm darah beku tersumbat di otak.
"Namun otak saya belum lagi rosak. Oleh itu rawatan tersebut diberikan dengan harapan dapat menyelamatkan otak dan organ saya dari rosak akikbat darah beku," jelasnya yang ditempatkan di wad rawatan rapi (SCU) selama empat hari.
Esma berkata, dia bersyukur kerana serangan angin ahmar itu tidak menjejaskan jantungnya.
"Saya berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang merawatnya sepanjang berada di hospital berkenaan," katanya.
Esma kini dapat kembali berlari dua minggu selepas kejadian menakutkan itu.
"Apa yang boleh saya katakan pada mereka yang merokok atau vape tetapi aktif bersukan seperti saya sebelum ini, berhenti sajalah demi nyawa anda.
"Pemakanan serta diet yang sihat dalam mengimbangi kalestrol dalam darah juga diutamakan dan jika ada mengalami hipenstasi janganlah culas mengambil ubat.
"Pada hari ini (Ahad lalu) saya dapat semula berlari dan menikmati kehidupan.
"Isteri saya berkata pada saya, ALLAH mungkin belum beri apa yang kita nak tetapi ALLAH telah berikan apa yang kita perlukan," kongsinya.