Kerjasama IPT beri peluang pendidikan kepada banduan

Iklan
Ibrisam ditemui pemberita selepas merasmikan Program Koreksional Pembentukan Diri Resilien 2023.

SEREMBAN - Jabatan Penjara Malaysia berharap lebih banyak institut pengajian tinggi (IPT) tampil bekerjasama dengan jabatan itu bagi menawarkan peluang pendidikan kepada banduan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, dengan adanya pendidikan, ia dapat membantu mereka mendapat pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik selepas dibebaskan.

Iklan
Iklan

"Kami amat menggalakkan IPT untuk kolaborasi dengan kita yang setidaknya apabila mereka(banduan) keluar nanti, boleh ada diploma sekurang-kurangnya dan boleh guna pengiktirafan pendidikan itu untuk kerja dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Koreksional Pembentukan Diri Resilien 2023 di Dewan Wawasan, Penjara Seremban di sini pada Isnin.

Iklan

Jelasnya, setakat ini Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) saja yang menjalinkan kerjasama dengan jabatan itu bagi tujuan tersebut.

Tambahnya, terdapat seorang banduan di Penjara Kajang sedang menyambung pengajian dalam peringkat doktor falsafah di bawah program pengajian OUM, dua orang peringkat sarjana, tiga peringkat sarjana muda dan lima peringkat diploma.

Iklan

"Selain itu seramai 19 mengikuti pengajian peringkat diploma di UPSI dan 47 mengikuti pengajian di Asia College of Exerxice Medicine, ia merupakan satu perkara yang positif agar mereka dapat merancang kehidupan pada masa depan.

"Selain program kerohanian beberapa latihan vokasional turut ditawarkan di penjara yang direka khusus untuk mengajar kemahiran berkaitan pekerjaan agar mendapat permintaan dalam pasaran kerja tempatan," katanya.

Justeru itu beliau berharap, para majikan dapat menerima bekas banduan sebagai pekerja dengan menilai berdasarkan kualiti pendidikan yang mereka ada,bukannya sejarah mereka sebagai banduan.

Mengulas mengenai kesesakan yang mungkin berlaku di penjara, beliau berkata, situasi masih lagi terkawal walaupun berlaku sedikit lebihan.

"Kita ada lebihan sikit. Lebihan ini bawah 20 peratus dan masih lagi terkawal mengikut standard antarbangsa.

"Jika lebih 20 peratus dikira terlebih muatan. Sekarang ini enam ke tujuh peratus sahaja lebihan," katanya.