ISTANBUL (Turkiye) - China pada Isnin menentang pengusiran penduduk Palestin dari Gaza yang terkepung dengan menegaskan gencatan senjata perlu dilaksanakan sebagai matlamat utama.
Menteri Luar China, Wang Yi semasa pertemuan dengan sekumpulan menteri-menteri luar dari negara-negara anggota utama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkata:"Gencatan senjata bukan lagi retorik diplomatik, tetapi ia soal hidup dan mati bagi penduduk Gaza."
Menteri luar Palestin, Arab Saudi, Indonesia, Mesir dan Jordan bertemu rakan sejawatan Wang Yi di Beijing untuk membincangkan situasi di Gaza, menurut kenyataan Kementerian Luar China, lapor Agensi Anadolu.
Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha turut menyertai delegasi itu.
Kumpulan diplomat tertinggi OIC itu juga merancang melawat negara lain untuk menggesa gencatan senjata segera di Gaza.
Wang Yi berkata, gencatan senjata menjadi keperluan rakyat Gaza serta hasrat sebahagian besar negara dan kehendak sebulat suara rakyat di seluruh dunia yang cintakan keamanan.
Sambil menyeru keperluan untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Wang berkata:"China menentang sebarang pemindahan paksa dan penempatan semula penduduk Palestin."
"Israel harus menghentikan hukuman kolektif ke atas rakyat Gaza dan membuka koridor kemanusiaan secepat mungkin untuk mencegah bencana kemanusiaan yang lebih teruk.
"Sebarang penyelarasan yang melibatkan masa depan dan nasib Palestin mesti mendapat persetujuan rakyat Palestin dan juga mesti menyelesaikan kebimbangan negara serantau,” katanya menyokong usaha diplomatik OIC dan negara-negara Arab.
Mengulangi pendirian Beijing mengenai Palestin, Wang berkata, sebarang penyelesaian kepada situasi semasa tidak boleh menyimpang daripada penyelesaian dua negara dan harus membantu kepada keamanan dan kestabilan rantau.
"Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mesti mendengar gesaan negara-negara Arab dan Islam selain mengambil tindakan yang bertanggungjawab untuk meredakan keadaan," katanya.
Selaku pengerusi semasa Majlis Keselamatan PBB, Wang berkata China akan terus mengukuhkan koordinasi dengan negara-negara Arab dan Islam, membina konsensus dan menggalakkan Majlis Keselamatan untuk mengambil tindakan lebih bermakna mengenai situasi di Gaza. - Bernama