KUALA LUMPUR - Malaysia perlu menerap mekanisme 'gaji kehidupan wajar’ dengan tahap gaji yang bersesuaian bagi membolehkan pekerja membina simpanan persaraan yang mencukupi, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, isu utama yang menyebabkan simpanan persaraan tidak mencukupi kerana gaji di negara ini yang tidak meningkat dengan sewajarnya.
"Untuk menangani perkara ini, KWSP sedang berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan mempengaruhi penggubal dasar bagi melaksanakan mekanisme yang lebih dinamik yang boleh meningkatkan gaji dengan berkesan,” katanya pada sidang media seminar dan mesyuarat lembaga pengarah Persatuan Keselamatan Sosial Asean (ASSA) ke-40 pada Isnin.
Amir Hamzah juga menekankan galakan daripada KWSP kepada ahli untuk mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan simpanan persaraan mereka.
"Kadar caruman (KWSP) adalah memadai untuk sektor formal. Kami mempunyai 11 hingga 13 peratus caruman daripada majikan dan 11 peratus daripada pekerja.
"KWSP juga menawarkan rangkaian produk yang membolehkan ahli menambah simpanan secara sukarela dengan menaikkan kadar caruman atau membuat caruman tambah nilai apabila mereka mempunyai pendapatan tambahan. Tindakan ini boleh mempercepatkan pertumbuhan simpanan mereka,” katanya.
Amir Hamzah berkata, KWSP juga perlu mengisytiharkan dividen yang menarik bagi membantu ahli mengumpul simpanan persaraan yang mencukupi.
"Untuk mengisytiharkan dividen (menarik), KWSP mesti memastikan pulangan yang kukuh dan pengurusan dana yang berkesan supaya pulangan itu mencukupi untuk ahli kami mengembangkan simpanan (persaraan) mereka,” katanya. - Bernama