IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan bekerjasama dengan negara-negara seperti Finland, Sweden dan Norway untuk melaksanakan program pendidikan teknik dan vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar tahfiz di negeri itu.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, pelaksanaan program tersebut dijangka dilancarkan tahun hadapan sebagai usaha mempertingkatkan kualiti serta kemahiran lulusan tahfiz itu.
Menurutnya, perbincangan bersama pakar daripada negara tersebut telah dilakukan dan Perak akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan program itu nanti.
"Negara ini memang terkenal dengan TVET mereka dan kita berjaya menghubungi mereka dan duduk bersama berbincang mengenai program yang akan dilaksanakan.
"Kita sebenarnya mahu menambah nilai lulusan tahfiz sedia ada bukan sekadar jadi imam atau guru agama selepas tamat pengajian tetapi mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan industri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Penyampaian Bantuan Persekolahan, Perubatan dan Sumbangan Kepada NGO Islam serta Pertubuhan Rumah Anak-Anak Yatim Negeri Perak Tahun 2019 di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.
Sementara itu, Shahrul Azam berkata, pelaksanaan program akan melibatkan sekolah-sekolah bantuan kerajaan negeri dan bagi peringkat awal, tiga sekolah akan terlibat dalam program perantis.
Katanya, melalui program itu selain belajar silibus tahfiz yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, pelajar juga akan mengikuti program kemahiran yang dibuat khas melalui kerjasama itu nanti.