KOTA KINABALU - Pembinaan sebuah lagi Maktab Rendah Sains Majlis Amanah Rakyat (Mara) (MRSM) bakal memberi manfaat kepada 450 pelajar di negeri ini untuk melanjutkan pengajian di institusi terbabit yang akan beroperasi pada Mac depan.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, untuk permulaan MRSM kelima yang dibina di Ranau akan mengambil seramai 180 pelajar.
"MRSM ini sudah siap sepenuhnya, yang penting pada 4 Mac depan ada pengambilan pertama iaitu seramai 180 orang. Sebenarnya keseluruhan boleh memuatkan seramai 450 pelajar.
"Tetapi untuk pengambilan pertama ialah Tingkatan Satu dan Empat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MRSM Ranau kepada kerajaan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.
Penyerahan disempurnakan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebagai pihak yang menyumbang pembinaan bangunan MRSM tersebut.
Diminta mengulas mengenai nama rasmi MRSM tersebut, Asyraf berkata, perkara itu akan dipertimbangkan untuk ditukar sebagai MRSM Kinabalu seperti yang diminta oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
"Insya-ALLAH perkara ini saya akan bawa ke peringkat majlis dan juga menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Soal nama ini perlu melalui prosesnya juga.
"Tetapi sudah tentu pandangan Datuk Seri Masidi adalah satu pandangan yang amat baik yang mengambil kira sentimen dan juga sejarah yang bertapak di kalangan kaum Kadazan dusun.
"Yang pastinya MRSM ini kita bina pun mengambil kira aspirasi untuk membantu lebih ramai anak-anak bumiputera dari kalangan masyarakat tempatan Ranau dan sekitarnya untuk mereka dapat masuk ke dalam sistem MRSM," jelasnya.
Beliau dalam pada itu turut menyifatkan pembinaan MRSM yang terbaharu itu sebagai sebuah pusat pendidikan yang tertinggi di Malaysia.
"MRSM ini terletak di kaki Gunung Kinabalu dan tertinggi kerana secara geografinya berada pada altitud 721 meter," katanya.
Turut hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) Mara, Razlan Samsuri.